Bangkok kekal destinasi paling ramai dilawati rakyat Malaysia

0
12

TUJUH daripada 10 negara Asia mendominasi senarai 10 destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia menerusi data terbaharu Indeks Harga Hotel (HPI) 2016 yang dikeluarkan oleh Hotels.com

Ibu negara Thailand, Bangkok mengekalkan posisi teratas untuk dua tahun berturut-turut. Phuket pula melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelima, manakala Hat Yai menghuni tempat kesembilan, naik tiga anak tangga berbanding tahun 2015.

FOTO/DANIEL HALIS (@danielhalis)

Singapura dan Hong Kong masing-masing di tempat kedua dan ketiga, juga mempertahankan kedudukan yang sama seperti tahun 2015.

Bali, lokasi liburan popular di Indonesia jatuh empat anak tangga ke posisi kelapan. Harga penginapan di situ juga mencatatkan kenaikan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2015.

10 destinasi paling popular yang dikunjungi rakyat Malaysia pada tahun 2016.

Penyusutan nilai Ringgit Malaysia (RM) sebanyak empat peratus tahun lalu telah meningkatkan kos perjalanan ke Amerika Utara dan Eropah. Kesannya telah menyebabkan Itali dan Perancis tercicir daripada senarai 15 destinasi paling ramai dikunjungi rakyat Malaysia.

Secara puratanya, pengunjung Malaysia berbelanja RM633 untuk semalaman di Osaka (Jepun) dan RM323 di Phuket dengan masing-masing mewakili peningkatan tahunan sebanyak 44 peratus dan 28 peratus jika dibandingkan dengan data tahun 2015.

Bagaimanapun, perbelanjaan untuk penginapan di London merekodkan penurunan dengan HPI purata RM750 satu malam, merosot 7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Purata harga penginapan satu malam berdasarkan HPI yang dibayar pengunjung Malaysia di negara-negara Asia Tenggara.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa rakyat Malaysia hanya membelanjakan purata RM206 satu malam untuk hotel di Kuala Lumpur. Ia lebih rendah berbanding Bangkok (RM264), Manila (RM272), Jakarta (RM289) dan Singapura (RM533).

HPI merupakan laporan tahunan harga hotel di destinasi-destinasi utama di seluruh dunia dengan mengenal pasti harga sebenar dibayar* penginap untuk kemudahan mereka sekali gus menjelaskan maklumat bermanfaat berkenaan punca perubahan yang berlaku. Data diperoleh daripada tempahan yang dibuat menerusi laman web Hotels.com di seluruh dunia.

*Harga purata yang dibayar untuk satu malam termasuk cukai.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini