Gaya Hidup

Habitat ent tumpuan dekorasi vintaj dan terarium

By  | 

BARANGAN vintaj sememangnya malar segar. Daripada barangan perhiasan sehinggalah kepada perabot, ia sering mencuri tumpuan. Apatah lagi apabila ia dijadikan daya tarik kediaman anda. Keupayaannya untuk disuai padan bersama barangan rekaan moden juga menjadikannya antara konsep dekorasi bersifat universal tetapi masih mengekalkan nilai kemewahan.

1-habitat pepatung

Jika anda penggemar item vintaj atau tercari-cari pelengkap sempurna untuk rumah anda, sudi-sudikanlah diri untuk berkunjung ke Habitat ent. Mengetengahkan barangan dekorasi dalaman berkonsep vintaj, Habitat ent bagaikan sebuah santuari unik yang menghimpunkan pelbagai perhiasan dan perabot klasik bercita rasa tinggi.

Biarpun ia diklasifikasikan sebagai barangan vintaj, tetapi kesemuanya adalah keluaran baharu yang diinspirasikan daripada perabot lama bersandarkan kepada nilai klasik. Mesin taip, telefon antik dan kipas besi antara perhiasan vintaj paling popular di Habitat ent. Bagaimanapun kebanyakannya tidak lagi berfungsi dan hanya sesuai dijadikan barangan hiasan.

3-habitat pepatung

“Bagi mengenal pasti barangan vintaj, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan asas tentang konsep ini. Pada dasarnya, item vintaj mempunyai fizikal yang agak usang dan mungkin berkarat, tetapi masih berkualiti dan selamat. Barangan besi kebiasaannya perlu disapu dengan sejenis cecair khusus bagi memelihara ketahanannya.

“Jika perhiasan lain, tidak perlu dijaga sangat sebab lebih lama dan usang barangan itu, nilai sentimentalnya akan lebih tinggi. Perabot kayu pula memang tahan lama, jadi anda tidak perlu gusar,” jelas pengasas Habitat ent, Siti Sandi ketika ditemui Pepatung baru-baru ini.

11-habitat pepatung

Selain digelar dekorasi tanpa musim, item vintaj juga mampu dijadikan pelaburan menguntungkan di masa depan. Semakin lama item itu, semakin tinggi nilainya apabila dijual kembali. Malah orang muda zaman kini juga mula berminat terhadap barangan klasik dan permintaannya dalam pasaran tidak pernah putus.

Disifatkan sebagai barangan berkarakter tersendiri, Siti berpesan apabila membeli item vintaj, pastikan ia masih berfungsi jika tujuan pembelian anda adalah untuk digunakan seperti kipas atau mesin taip. Kamera antik di Habitat ent misalnya, masih boleh digunakan cuma filemnya perlu dicari dan dibeli sendiri.

14-habitat pepatung

Himpunan item vintaj di Habitat ent dikelompokkan dari sekitar Eropah terutama Jerman. Menurut Siti, pencetusan menubuhkan kedai berkonsep vintaj itu datang selepas dia bercuti ke Eropah. Hiasan dalaman vintaj yang banyak diketengahkan kafe di sana telah menarik minatnya untuk membawa konsep tersebut ke Malaysia.

7-habitat pepatung

Sejak dibuka kepada umum pada Jun tahun lalu, Habitat ent juga terkenal dengan dekorasi berkonsep terarium. Pokok-pokok kecil daripada kumpulan tumbuhan sukulen termasuk kaktus menjadi penarik terbesar di kedai tersebut. Selain dijadikan perhiasan hijau, tumbuhan mini itu turut dibeli pelanggan untuk dijadikan cenderamata kepada tetamu pada majlis-majlis tertentu termasuk resepsi perkahwinan.

16-habitat pepatung

“Saya turut menambah pakaian, aksesori seperti jam tangan dan kaca mata untuk mempelbagaikan penawaran. Di sini pelanggan dapat menemui jam tangan Komono dari Belgium yang kian popular dan item terbaharu, kaca mata Le Specs,” tambah Siti.

5-habitat pepatung

Kesemua barangan di Habitat ent dijual pada harga bermula RM35 (terarium) sehingga RM5,000 (perhiasan dan perabot).

Operasi: Selasa hingga Ahad (tutup pada hari Isnin)
Waktu: 12 tengahari hingga 8 malam
Alamat: P-1-3, 60 Jalan Sri Hartamas 1, Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur
Instagram: @habitat_ent

Nota: Kesemua foto merupakan milik mutlak Pepatung dan sebarang penggunaan atau penerbitan semula perlu dikredit termasuk menyertakan pautan alamat portal ini.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. Hero Borneo

    5 February 2015 at 1:15 AM

    barang lama boleh membangkitkan nostalgia ..kira macam sentimental value!

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *