Enam perkara yang tidak diucap oleh calon yang berjaya ketika sesi temu duga

0
6

PERKARA utama yang sering berlegar dalam kotak fikiran sewaktu hadir ke sesi temu duga adalah ingin merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan. Sewaktu sesi itu, anda perlu menunjukkan kemahiran, minat dan pengetahuan yang berkaitan dengan kerja yang dipohon.

Secara amnya, calon perlu bertanya soalan. Kebiasaannya soalan yang ditanya adalah seperti kesesuaian jawatan yang diminta dan skop kerja yang perlu dibuat sekiranya anda diterima bekerja. Begitupun dalam sibuk berbicara, anda perlu berhati-hati daripada bertanya atau bercakap tentang perkara-perkara berikut:

1) “Berapakah gaji yang ditawarkan?”
Benar, anda mencari pekerjaan bagi menyara hidup. Itu sudah menjadi lumrah. Daripada anda mengingatkan bakal majikan betapa kemaruknya anda terhadap gaji yang ditawarkan, cuba tonjolkan minat yang mendalam terhadap jawatan yang dipohon. Yakinkan mereka bahawa anda begitu berminat untuk mengembangkan karier dan bekerja dengan mereka.

2) “Syarikat ini menjalankan perniagaan apa ya?”
Anda pergi ke sesi temu duga tanpa membuat sebarang kajian? Jangan bunuh peluang yang diberikan dengan soalan di atas! Kebiasaannya anda akan ditanya tentang latar belakang syarikat dan pengetahuan anda tentang kerja yang dipohon. Jadi banyakkan membaca (gunakan perkhidmatan carian Google jika perlu) sebelum hadir ke sesi interviu. Jika anda ingin lebih menonjol, cuba hubungi jabatan sumber manusia syarikat untuk mendapatkan sedikit informasi sebelum hadir ke sesi temu duga. Tunjukkan bahawa anda benar-benar mahukan jawatan tersebut!

3) “Berapa banyak cuti yang akan saya dapat?”
Anda sudah berfikir untuk bercuti sebelum menerima pekerjaan idaman? Soalan di atas sedikit tidak molek untuk ditanyakan sewaktu sesi temu duga. Hati-hati kerana soalan seperti itu menggambarkan anda mempunyai etika kerja yang teruk.

4) “Kerja/bos saya sekarang teruk”
Tidak kira betapa bencinya anda pada kerja anda sekarang, cuba elakkan untuk menunjukkan rasa itu sewaktu sesi temu duga. Anda mungkin sudah penat dengan situasi di pejabat ketika ini. Namun, sesi temu duga merupakan tempat yang silap untuk anda mengadu rasa. Cuba tampil positif supaya kehadiran anda lebih dihargai.

5) “Saya merupakan calon terbaik”
Anda merupakan yang terbaik? Buktikan! Walaupun tujuan utama sesi temu duga adalah untuk menonjolkan aset profesional anda, namun, pastikan anda tidak kedengaran terlalu sombong sewaktu meyakinkan penemu duga. Terangkan kenapa anda percaya bahawa anda sesuai untuk menjawat jawatan yang dipohon dengan berkongsi anekdot dan pengalaman bekerja, bukannya meninggi diri dan menunjuk-nunjuk.

6) “Saya tidak ada soalan”
Pernahkah anda sampai ke penghujung sesi temu duga dan ditanya sama ada anda mempunyai soalan atau tidak? Jika anda disoal sebegitu, anda mungkin tidak bertanya dengan cukup sewaktu sesi tersebut dijalankan. Tiada apa yang lebih menunjukkan anda begitu berminat dan bersemangat untuk bekerja dengan bertanya tentang pekerjaan anda. Pastikan sesi temu duga berkenaan berjalan seperti sebuah perbualan yang mengandungi soalan dan jawapan. Sekiranya anda diminta untuk bertanya soalan pada penghujung sesi, jangan malu, cubalah bertanya satu ada dua soalan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini