Enam cara elak bawa beg tangan isteri/teman wanita

0
21

PARA suami dan teman lelaki Malaysia memang ringan tulang. Bukan sahaja penyayang, malah sungguh budiman sehingga rela hati membawakan beg tangan si isteri atau teman wanita.

Trend tersebut diperhatikan kian berkembang dalam kalangan lelaki tempatan. Percayalah, orang sekeliling tidak merasakan ia perbuatan yang romantik atau sweet, malah menjengkelkan dan menimbulkan syak wasangka terhadap pasangan anda.

1-handbag laki chinesepeopledoyoustyle

Berat sangatkah beg tangan itu sampaikan isteri atau teman wanita anda tidak larat untuk membawanya? Adakah beg tangan mereka berisi batu bata atau dumbbell? Barangkali item paling berat pun hanyalah power bank bagi mengecaj semula bateri telefon pintar.

Kaum Adam perlu ingat, apa gunanya beg tangan itu dibawa keluar jika akhirnya anda yang perlu memikulnya ke hulu ke hilir? Tidak akan terkehel bahu wanita kesayangan anda hanya kerana menggalas beg tangan di bahu. Jika tidak pasti awal-awal mereka tidak akan membawanya keluar bukan?

Justeru bagi menyelamatkan anda dicop sebagai ‘lelaki takut bini’ atau pasangan anda dilabel sebagai ‘queen control‘, Pepatung berikan enam alternatif bagi mengelakkan situasi kurang menyenangkan tersebut.

1) Jangan bayar beg tangan isteri/teman wanita anda
Mungkin alasan isteri atau kekasih anda ketika meminta bantuan membawakan beg tangan adalah disebabkan milikan asal beg tangan itu sendiri. Oleh kerana beg tangan itu dibeli menggunakan wang anda, maka secara tidak langsung anda juga berhak ke atas aksesori itu.

Jadi elakkan daripada menghulurkan wang anda apabila isteri atau teman wanita ingin membeli beg tangan baharu. Biarkan mereka membeli menggunakan duit sendiri. Dengan cara ini, mereka akan lebih menghargai barangan yang dibeli menerusi hasil titik peluh sendiri, bukannya dari poket suami.

2) Bawa beg galas atau beg silang
Sebelum keluar rumah untuk ke pusat beli-belah atau bersiar-siar, pastikan anda (golongan lelaki) membawa beg galas atau beg sandang. Isikan beg tersebut dengan barangan berupa botol air, buku dan fon telinga. Apabila anda sudah membawa beg sendiri, pasti si isteri atau kekasih akan rasa bersalah untuk meminta bantuan anda membawakan beg tangan mereka.

3) Gunakan beg tangan uniseks
Anda tahu bukan bahawa terdapat beg tangan yang direka untuk kegunaan kedua-dua jantina, lelaki dan wanita? Maka sebagai penyelesai kepada masalah ini, apa kata sarankan (atau hadiahkan) isteri/kekasih anda menggunakan beg tangan uniseks. Setidak-tidaknya anda tidak akan kelihatan janggal apabila diminta membawanya, malah tampak bergaya.

4) Periksa beg tangan pasangan sebelum keluar
Kadang-kadang golongan wanita membawa beg tangan bersaiz besar tanpa sebab. Asalkan cantik dan sesuai dengan pakaian, beg tangan apapun boleh tanpa mengambil kisah fungsi dan saiznya. Sebelum keluar, periksa beg tangan apa yang hendak dibawa si isteri/kekasih. Sekiranya ia berpotensi dibawa anda, selongkar kandungannya terlebih dulu.

Barangan tidak perlu seperti sebotol minyak wangi sebaik-baiknya ditinggalkan. Pesan kepada pasangan anda bahawa terdapat banyak minyak wangi bersaiz kecil yang boleh dijadikan ganti. Cara paling mudah adalah dengan bersinggah ke kaunter minyak wangi dan menyemburkan tester. Selama inipun ramai yang berpura-pura hendak membeli walhal mahu mengharumkan tubuh secara percuma.

Beg tangan yang ringan akan memberikan keselesaan kepada pasangan anda. Tidaklah mereka merengek sakit bahu kerana membawa terlalu banyak barangan merepek dalam beg tangan.

5) Jalan berasingan
Alternatif yang agak kejam. Namun kalau sudah isteri atau teman wanita anda tergolong dalam kategori tidak makan saman, maka lencongkan kaki anda ke bahagian lain selepas berjalan bersama-sama untuk tempoh yang agak lama. Anda pasti lebih arif tentang waktu keletihan mereka dan bila masanya khidmat anda sebagai pembawa beg tangan diperlukan bukan?

Beri alasan yang anda ingin mencari barang dan minta dia bertemu semula di parkir atau pintu keluar kedai. Selesai masalah untuk hari itu.

6) Menolak dengan baik
Hati wanita memang sensitif. Apabila kehendak mereka tidak dipenuhi, mulalah menarik muka masam sepanjang hari. Penat si suami/teman lelaki mencari jalan untuk memujuk. Sebagai lelaki, anda juga perlu belajar untuk menolak keinginan tidak logik pasangan anda. Apatah lagi membawakan beg tangan, jelaskan kepada pasangan anda mengapa anda tidak selesa membawakan aksesori feminin mereka itu.

Buat golongan wanita pula, janganlah berkecil hati atau sentap apabila suami/kekasih anda enggan membawakan beg tangan anda. Bawalah sendiri, bukannya berat pun. Janganlah menjadi isteri/teman wanita terlebih manja atau mengada-ada, esok pasangan anda cari lain baru tahu!

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini