Gaya Hidup

Dunia kecergasan Kash Azim

By  | 

SELAMA sedekad menghimpun pengalaman sebagai pakar kecergasan, Ahmad Kasyful Azim Ahmad Kamal atau mesra dengan nama Kash Azim, sudah berhasil mencipta portfolio yang membanggakan. Perjalanan lelaki berketinggian 183 sentimeter (cm) itu dalam bidang kecergasan bermula ketika umurnya 21 tahun.

2-kashFOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: ARISHA ZAINAL (@arishadhz)

Semuanya berlaku tanpa dirancang. Permintaan rakan untuknya bekerja di sebuah gimnasium (gim) telah membentuk dirinya yang hari ini. Tugas Kash ketika itu hanyalah membersihkan peralatan dan fasiliti termasuk menyapu dan mop lantai. Malah berat badannya ketika itu mencecah lebih 100 kilogram (kg).

Selepas setahun didedahkan dengan persekitaran gim, minat Kash untuk bersenam datang perlahan-lahan. Fokus awalnya adalah bagi menurunkan berat badan.

Kekurangan keyakinan diri berjaya dilunturkan selepas berjaya menurunkan 10kg. Hasilnya, gim tempatnya berkhidmat, Fitness First (FF), The Curve, Mutiara Damansara, Selangor menawarkan Kash mengikuti kursus sebagai pelatih kecergasan (fitness instructor). Sepanjang kursus tersebut, jejaka berusia 32 tahun itu didedahkan dengan ilmu-ilmu asas senaman secara menyeluruh, lengkap dengan pengetahuan saintifik.

“Ketika itu saya masih belum kurus sepenuhnya. Daripada seorang ‘kuli’ di gim, saya mula diberi kepercayaan untuk membimbing klien berkaitan pengenalan terhadap senaman-senaman asas.

6-kashFOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: ARISHA ZAINAL (@arishadhz)

“Penglibatan saya dalam bidang ini turut mendedahkan saya kepada cara-cara mencipta program kecergasan, etika dan tatatertib senaman termasuklah skil mengendalikan klien mengikut jantina serta komunikasi.

“Dalam tempoh 10 tahun, saya meraih peningkatan memberangsangkan. Selepas menjadi pelatih kecergasan, saya dilantik sebagai jurulatih kecergasan peribadi (personal trainer) diikuti sebagai jurulatih kecergasan peribadi berpengalaman (master personal trainer), pembantu pengurus dan jawatan tertinggi sebagai Pengurus (fitness manager).

“Tujuh tahun saya menabur bakti di FF The Curve sebelum ditukarkan bagi mengendalikan cawangan FF di KLCC dan Menara Manulife (Bukit Damansara) untuk baki tiga tahun. Selepas sedekad berkhidmat untuk FF, saya memilih untuk berhenti dan bergerak secara persendirian,” jelas Kash yang berasal dari Kuala Lumpur.

Percaya atau tidak, Kash hanya benar-benar selesa dengan tubuhnya selepas 10 tahun bergiat aktif dalam lapangan kecergasan. Malah program diet peribadi hanya dimulakan kira-kira empat tahun lalu. Setelah berjaya mencapai sasaran bagi menurunkan berat badan, barulah dia menumpukan terhadap pembinaan otot-otot tubuh.

Latihan kaki

Bergelar pakar dalam dunia kecergasan, Kash tidak menafikan betapa positifnya peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan fizikal termasuk keinginan mendapatkan tubuh kekar. Bagaimanapun majoritinya hanya fokus terhadap pembentukan otot di bahagian atas badan (upper body) kerana ia mudah menangkap pandangan orang sekeliling, selain membuatkan tubuh tampak segak apabila menyarungkan apa jua jenis pakaian.

Senaman melibatkan bahagian bawah badan khususnya kaki jarang diberi perhatian. Ia merupakan bahagian paling mencabar dalam aspek senaman dan memerlukan dedikasi tinggi serta bimbingan individu berpengetahuan. Jika silap teknik, seseorang itu boleh muntah dan jatuh sakit.

3-kashFOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: ARISHA ZAINAL (@arishadhz)

Hal tersebut menyebabkan ramai mengelak daripada melakukan latihan kecergasan kaki. Namun menurut Kash, bahagian tersebut sebenarnya perlu diutamakan berbanding bahagian atas badan. Senaman melibatkan bahagian bawah badan mampu merangsang penghasilan testosteron semula jadi untuk gaya hidup yang lebih sihat.

Malah 50 peratus daripada berat badan datangnya dari kaki. Kaki yang kuat akan membantu menyokong bahagian atas badan sekali gus menyempurnakan kesegakan penampilan.

“Latihan melibatkan kaki sangat bagus untuk mereka berumur 30 tahun ke atas kerana ia membantu menguatkan jantung, belakang badan dan tulang.

“Mereka yang mengidamkan six pack juga sebenarnya perlu melakukan senaman squat yang juga melibatkan pergerakan kaki. Latihan ini akan menguatkan bahagian abdomen sekali gus memudahkan pembentukan otot-otot six pack,”¬†dedah Kash.

Rejim puasa

Bersempena bulan Ramadan ini juga, Kash turut berkongsi beberapa panduan dan tip berguna bagi memastikan tubuh kekal cergas dan sihat. Dari segi pemakanan, anda digalakkan untuk berbuka bersama kurma dan segelas air kosong sejuk. Gula semula jadi dalam kurma sangat bagus untuk tubuh dan ia membantu mengurangkan rasa lapar sementara air sejuk elok untuk badan yang sedang panas.

Dirikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum menikmati juadah berat. Nasi bersama sayur-sayuran dan lauk-pauk tidak berminyak boleh diambil dalam kuantiti sederhana.

Elakkan pengambilan makanan bersantan kerana ia tidak baik untuk perut kosong. Bahan-bahan makanan tidak sihat akan terus diserap tubuh sekali gus menjadi jawapan kepada persoalan klise; mengapa anda mengalami peningkatan berat badan pada bulan puasa?

Tambah Kash, setiap individu boleh makan dengan kerap pada waktu malam sepanjang Ramadan dengan syarat ia diambil dalam amaun sedikit dan berpada-pada. Sebelum tidur, amalkan meminum susu kerana ia mengandungi kasien yang amat berfaedah kepada otot.

Bagi mereka yang dalam program diet, campuran oat, pisang, susu dan mentega kacang boleh dijadikan pilihan terbaik ketika bersahur.

4-kashFOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: ARISHA ZAINAL (@arishadhz)

Rejim senaman bulan puasa juga masih boleh diteruskan tanpa perlu dibimbangi keletihan melampau. Ujar Kash, individu dengan matlamat menurunkan berat badan digalakkan bersenam 30 minit sebelum waktu berbuka. Berjalan (bukan berlari) selama setengah jam sahaja memadai.

Ketika itu, tubuh tidak mempunyai tenaga yang dibekalkan karbohidrat, maka tenaga daripada lemak akan dijana sekali gus menggalakkan pembakaran lemak.

Individu dengan rejim senaman yang difokuskan terhadap pembentukan otot pula disarankan memulakan latihan selepas solat tarawih. Ia boleh dijalankan seperti biasa. Bagaimanapun mereka yang memilih memulakan latihan sebelum waktu berbuka, Kash berpesan agar intensiti latihan dikurangkan dan tidak dilakukan secara berlebihan.

“Mereka yang biasa berjoging di awal pagi pula perlu mengurangkan kelajuan larian ataupun menukarnya kepada berjalan bagi mengelakkan kehilangan air.

“Bagi mencapai tubuh idaman menjelang hari raya, anda hanya perlu bersenam dua atau tiga kali seminggu dan memperbanyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan hidangan panggang,” kongsi Kash.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. Naz Fererra

    18 June 2015 at 9:16 PM

    well done kash

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *