Gaya Hidup

Dunia antigraviti Mat Redho

By  | 

ANDREW GARFIELD Malaysia! Barangkali itu jolokan paling mengena dengan pemilik nama Redha Rozlan atau lebih dikenali Mat Redho. Baik wajah yang manisnya seakan iras, begitu juga signatur watak Spiderman yang sinonim pula dengan sukan ekstrem Mat Redho.

5.jpg-cTEKS: NIK AMRI NIK HASSAN (@thisisyeoy) | FOTO: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi) | SOLEKAN: RAZZI MUSA (@razzimusa) | LOKASI: SLIP STUDIO (@slip_studio) | PAKAIAN: UNDER ARMOUR (@underarmourmy) & H&M (@hm)

“Sebenarnya sebelum memasuki rancangan realiti Fear Factor Selebriti lagi ada yang mengatakan wajah saya seperti Andrew Garfield. Kebetulan pula ketika itu filem The Amazing Spiderman sedang panas ditayangkan.

“Awal-awal dahulu rasa menjengkelkan. Tapi apabila lama-kelamaan saya sendiri mula poyo. Macam ada pertalian pula apabila Andrew pun memanjat, saya juga memanjat cuma saya tidaklah sampai ke Hollywood,” orak bicara Mat Redho.

Garisan senyum yang terukir di wajah manis anak jati Kuala Lumpur itu barangkali aset paling bernilai yang turut mendorongnya aktif dalam lapangan komersial seperti pengacaraan dan lakonan.

Buktinya, selepas tamat pementasan teater Pak Pandir Yo di Istana Budaya pada bulan Oktober tahun lalu, Mat Redho terjun pula ke bidang pengacaraan untuk rancangan Kuasa Ekstrem yang bakal bersiaran selama 13 episod di RTM.

Kesatria ninja

Usia Mat Redho bukan baharu dalam lapangan sukan ekstrem memanjat tembok atau wall climbing. Sejak dari usia 13 tahun lagi dia mula menceburkan diri dalam sukan tersebut dek minat yang mendalam dan tahun ini melengkapkan usia 15 tahun berkecimpung dalam sukan itu.

4.jpg-c

“Tahun ini sudah tahun ke-15 saya berada dalam sukan wall climbing. Bermula daripada umur 13 tahun kemudian semakin serius ketika di tingkatan tiga, saya akhirnya dipilih sebagai salah seorang atlet dalam pasukan Malaysia ketika berusia 17 tahun.

“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk terbabit dalam sukan ini memandangkan ketika itu sukan badminton sangat digilai oleh orang ramai. Bahkan, keluarga saya sendiri tidak menyarankan saya untuk serius dalam sukan wall climbing.

“Rasa geram itu mendorong semangat saya untuk berlatih lebih kental semata-mata untuk membuktikan bahawa ini bukan sukan sia-sia,” katanya yang mula terdetik bermain sukan itu setelah melalui kawasan sama ketika berulang-alik dari sekolah setiap hari.

Ada ketikanya Mat Redho kecewa dengan segelintir individu yang menilai sukan wall climbing sekadar sukan untuk golongan wanita.

“Ramai yang memilih untuk bermain papan selaju (skateboard) dan berbasikal, tidak kurang juga yang meletakkan tanggapan bahawa sukan wall climbing ini sukan perempuan! Persepsi itu salah sebenarnya kerana memanjat bukan mudah dan memerlukan teknik serta latihan yang betul.

“Jangan menganggap pemanjat semuanya lemah kerana ini satu-satunya sukan yang mampu melatih bahagian atas badan menjadi kuat.

3.jpg-c

“Buktinya, rancangan sukan ekstrem seperti American Ninja Warrior kebanyakan didominasi oleh climber berbanding ahli bina badan mahupun parkour. Saya sendiri pernah terbabit dalam rancangan tersebut dan berjaya menandingi ahli sukan yang nampak lebih energetik daripada saya yang hanya bersaiz badan Asia,” katanya.

Menerusi rancangan American Ninja Warrior yang mengambil lokasi di Padang Ancorp Mall, Petaling Jaya, Selangor dua tahun lalu, Mat Redho merupakan pemain individual terbaik dunia mengalahkan Amerika Syarikat dan Jepun.

Manakala, dalam acara yang diwakili oleh pemain serba hebat seluruh dunia termasuk negara jiran Singapura dan Taiwan itu, Malaysia yang diwakili oleh lima orang peserta ketika itu berjaya menduduki tangga ketiga terbaik dunia.

Taktikal dan teknikal

Bermain sukan wall climbing tidak semudah seperti yang disangka namun jelas Mat Redho, ia bukan sukan yang sukar untuk dikuasai.

“Semua orang boleh memanjat sampai ke atas namun sejauh mana dan secepat mana seseorang itu boleh memanjat sebenarnya? Teknik memanjat tembok memerlukan pergerakan tangan dan kaki yang serentak. Jangan hanya mengharapkan tangan memainkan peranan mengangkat jisim badan anda kerana ia akan menyebabkan kecederaan dan keletihan.

“Senaman regangan badan juga perlu sebelum memanjat. Selalunya sebelum melalui tembok yang sukar, pemain akan memanjat tembok selama lima hingga 15 minit tanpa turun ke bawah,” tambah Mat Redho.

7.jpg-c

Diet yang diamalkan oleh ahli sukan wall climbing pula hampir sama dengan sukan ekstrem lain. Biasanya, individu yang terbabit dalam sukan itu memiliki kadar metabolisma tinggi dan sukar naik berat badan.

“Jadi, tiada diet khusus diamalkan melainkan apabila mendekati tarikh pertandingan. Ais perlu dikurangkan begitu juga pengambilan karbohidrat seperti nasi. Pengambilan buah-buahan seperti pisang akan dilebihkan daripada kuantiti biasa dan banyakkan meminum air masak,” jelasnya.

Sejak dari bangku sekolah Mat Redho tidak mengehadkan lokasi sukan ekstrem itu hanya di dalam bangunan semata-mata. Pernah beberapa kali dia menyertai aktiviti wall climbing di Gua Damai, Batu Caves (Selangor), Teluk Cempedak (Pahang), Gua Musang (Kelantan) dan Krabi (Thailand).

Kategori

Terdapat tiga kategori pemain sukan wall climbing kata Mat Redho. Pertama adalah permulaan (beginner). Pemain beginner hanya akan dilatih dengan teknik bouldering (memanjat tanpa menggunakan tali dan perkakasan memanjat sebaliknya disediakan tilam sahaja).

“Mereka akan memanjat tanpa menggunakan tali melainkan kasut dan serbuk kapur magnesium. Biasanya mereka akan diajar teknik dan cara yang betul untuk memanjat. Sekiranya terjatuh, tilam di bawah akan menyelamatkan mereka,” katanya yang memperuntukkan tempoh enam bulan untuk ke peringkat selanjutnya.

1.jpg-c

Bagi peringkat pertengahan pula, pemanjat akan diajar cara yang lebih kompleks terutama yang melibatkan tahap kesukaran perjalanan tembok. Tahap kesukaran tembok pula diukur menerusi darjah kecuraman.

“Beginner akan dilatih menggunakan tembok 5C hingga 6B, kesukaran perjalanan tembok akan ditingkatkan kepada gred 6B hingga 7A bagi pelatih pertengahan yang selalunya mengambil masa setahun setengah untuk dikuasai. Kemudian barulah gred 7A hingga 8B untuk golongan profesional yang mendapat ilmu teknikal selama dua tahun.

Peralatan

“Kasut adalah keperluan yang wajib ada untuk individu yang mahu berkecimpung dalam sukan wall climbing. Ia tidak sama dengan kasut biasa kerana material yang digunakan untuk kasut memanjat hanya getah semata-mata.

“Malah, kasut climber selalunya satu saiz lebih kecil daripada saiz asal,” tambahnya yang perlu memperuntukkan lebih RM400 untuk sepasang kasut dan biasanya perlu digantikan selepas enam bulan digunakan.

Climber juga perlu menyediakan serbuk kapur magnesium yang akan diikat pada bahagian pinggang ketika memanjat bertujuan mengelakkan tapak tangan daripada berpeluh dan lenguh apabila sedang memanjat.

Tali jenis dynamic rope bersaiz 9 milimeter biasanya digunakan bagi peringkat permulaan dan saiz itu akan bertambah kepada 10 milimeter apabila ke peringkat selanjutnya. Manakala, ukuran tali yang diperlukan sepanjang 50 hingga 70 meter.

6.jpg-c

Harness juga antara perkakasan memanjat yang perlu ada. Terdapat tiga jenis harness di pasaran iaitu seat harness (duduk), full body narness dan chest harness. Biasanya, seat harness beralas span jenama Betzl dan Cam dipakai mengikut keselesaan sendiri.

Selain harness, peralatan lain yang diperlukan adalah seperti crab, gri gri dan figer of 8.

Seperti kebanyakan sukan ekstrem lain, ahli sukan tidak dapat lari daripada berdepan kemalangan mahupun kecederaan ketika bermain. Bagi Mat Redho, sukan wall climbing adalah sukan yang paling minimal berisiko kecederaan.

“Paling teruk pun kulit-kulit pada bahagian telapak tangan dan jari akan koyak dan kaki akan cenderung untuk kejang. Kalau jatuh pun tiada masalah kerana mempunyai sistem sokongan seperti tali dan tilam malah, ia selalunya diawasi oleh individu yang bertugas mengawal pergerakan tali iaitu belayer,” simpulnya.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *