Gaya Hidup

Danau Daun Chalets: Jantung hati Janda Baik

By  | 

TANGAN yang memberi lebih baik daripada menerima. Pepatah yang molek buat keluarga Dato’ Seri Ar. Nik Mohamed Mahmood. Pada usia emas, 78 tahun, beliau telah membina sebuah empayar berlandaskan ihsan dan amal. Ini bukan sekadar kisah sebuah penginapan menarik di pinggir kota. Ia tentang kemanisan berbahagi kesenangan dalam menyuburi jiwa-jiwa ketandusan nilai bahagia.

GOPR2715-1.jpg-cDanau Daun dibina di atas sebahagian tanah berkeluasan tiga ekar yang turut menempatkan Kopi n Kraf dan Badan Amal Nur Zaharah. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

Danau Daun Chalets (Danau Daun) sememangnya unik untuk diceritakan. Tentang bagaimana ia dibangunkan atas sebab kebajikan dan juga diuruskan secara persendirian atas dasar kemanusiaan.

Segalanya bertitik tolak daripada nilai pengasih isteri Nik Mohamed, Allahyarhamah Norjan Noor yang meninggal dunia pada usia 70 tahun pada April 2014 akibat kanser kolon.

Norjan yang begitu menyukai kanak-kanak membangunkan sebuah penempatan (asrama) diberi nama Badan Amal Nur Zaharah (BANZ) di tanah persendirian miliknya di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Ditubuhkan kira-kira 12 tahun lalu, BANZ pada awalnya menempatkan anak-anak yatim, miskin dan dibelenggu konflik kekeluargaan. Hanya penghuni perempuan berusia antara 5 hingga 17 tahun menginap di asrama tersebut manakala kanak-kanak lelaki ditempatkan di asrama lain yang disewa oleh Nik Mohamed.

Penghujung tahun lalu, kesemua kanak-kanak lelaki dipindahkan ke BANZ dan ditempatkan di blok asrama sementara. Ketika ini sedang giat dijalankan projek pembangunan asrama lelaki. Terkini, terdapat kira-kira 50 penghuni yang diberi perlindungan di BANZ.

GOPR2773-1.jpg-cKafe n Kraf menjadi tumpuan warga kota terutama menjelang hujung minggu. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

“Pembangunan, penyelenggaraan dan pengurusan BANZ dibiayai oleh penderma-penderma perseorangan dan keluarga saya. Kerajaan turut membiayai RM80,000 hingga RM90,000 setahun dan ia hanya mencukupi untuk perbelanjaan makanan.

“Gaji pekerja termasuk guru dan kos-kos lain ditanggung sepenuhnya menerusi perolehan daripada kafe Kopi n Kraf dan Danau Daun,” jelas Nik Mohamed ketika ditemui Pepatung di Kopi n Kraf.

Kemasukan para penghuni ke BANZ adalah menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pihak daripada BANZ sendiri akan ke rumah kanak-kanak tersebut bagi melakukan semakan latar belakang sebelum pengambilan. Penghuni bukan sahaja dari Lembah Klang, malah dikelompokkan dari seluruh Malaysia terutama dari Pahang.

Kewujudan BANZ telah memberi peluang untuk Nik Mohamed membuka Kopi n Kraf, sebuah kafe berkonsep galeri bertentangan dengan BANZ. Objektif utamanya adalah bagi meraih pendapatan tetap untuk disalurkan kepada pengurusan BANZ.

GOPR2720-2.jpg-cObjektif utama kafe galeri ini dibuka adalah bagi menampung perbelanjaan Badan Amal Nur Zaharah. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung.

Maka kira-kira enam tahun lalu, Kopi n Kraf mula beroperasi di Janda Baik. Sebagai seorang arkitek prolifik, Nik Mohamed sendiri mengepalai rekaan dan konsep kafe galeri tersebut. Beliau sendiri ke Jepara, Indonesia bagi membeli sebuah rumah adat Joglo yang sangat terkenal di Jawa Tengah.

Rumah tersebut diceraikan dan dipasang semula di Janda Baik. Ia diubah suai mengikut kesesuaian fungsi sebuah kafe galeri dan dimodenkan menerusi penggunaan cermin. Bahagian luar dan dalam kafe diasimilasi menjadi satu bagi memberi kesempurnaan terhadap konsep terbuka pilihannya.

“Begitu juga dengan chalet Danau Daun. Kami cuba berikan pembukaan ruang sebanyak yang boleh. Memandangkan ia terletak di Janda Baik, adalah bagus untuk pengunjung menikmati kedinginan semula jadi yang menyegarkan,” ujar Nik Mohamed yang masih berkhidmat bersama Kumpulan Senireka Sdn. Bhd.

Kemahiran bapa kepada enam anak lelaki itu diterapkan dalam mewujudkan lokasi pelancongan berjiwa mewah yang dapat dinikmati pengunjung pada harga berpatutan.

GOPR2767-1.jpg=cSeni bina Kopi n Kraf merupakan rumah adat Joglo asli yang dibawa secara langsung dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

Kopi n Kraf misalnya sangat terkenal dalam kalangan kumpulan penunggang basikal dan motosikal berkuasa tinggi. Pelanggan dari ibu kota juga sering datang pada hujung minggu bagi menikmati keenakan sajian popularnya seperti murtabak dan roti canai Kelantan.

Kuzi ayam yang disediakan sendiri di rumah Nik Mohamed juga antara menu pilihan pelanggan. Selera Asia di Kopi n Kraf turut disempurnakan dengan penyediaan popia Kemboja dan soto Indonesia.

Ruang galeri kafe itu pula menempatkan koleksi kraftangan dan kesenian yang merupakan cita rasa peribadi arwah isteri Nik Mohamed. Kebanyakan item di situ merupakan koleksi dari butik lama Norjan di Hartamas, Kuala Lumpur yang kemudiannya dijual di Kopi n Kraf.

GOPR2719-1.jpg-cTerdapat tiga unit chalet, sebuah kotej dan annex yang ditawarkan kepada pengunjung. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

Kesinambungan Kopi n Kraf itulah tercetus idea mewujudkan Danau Daun. Objektif murninya tetap sama iaitu meraih pendapatan tetap untuk disalurkan kepada BANZ secara bulanan.

Kedudukannya di tengah-tengah belantara Janda Baik menjadikan ia eskapisme damai terpantas untuk ditujui warga kota. Lima unit chalet (tiga chalet, sebuah kotej dan annex) Danau Daun didirikan di atas sebahagian daripada dua lot tanah berkeluasan tiga ekar kepunyaan Norjan yang turut menempatkan BANZ dan Kopi n Kraf.

Tapak Chalet Danau Daun 1 dan 2 dahulunya adalah sebuah paya yang diubah menjadi sebuah kolam yang mengelilingi dua buah chalet kerana terdapatnya aliran air yang berterusan dari sungai. Kayu-kayu daripada pohon yang telah tumbang di sekitar hutan Janda Baik pula dijadikan asas bagi pembinaan chalet-chalet Danau Daun.

Tiada penebangan pokok dijalankan (Nik Mohamed mengutamakan pemeliharaaan hutan dan alam sekitar) sebaliknya beliau melabur modal menyewa mesin gergaji bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan kayu.

GOPR2700-1.jpg-cKonsep terbuka yang diguna pakai di Danau Daun memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam secara semula jadi. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

Seni bina Danau Daun lebih ditumpukan terhadap kamar mandi. Ia direka menepati konsep terbuka dengan atap ruangan air pancur (shower) hanya dilapisi jaring bagi memberi pencahayaan semula jadi serta dilatari pohon-pohon hutan. Tekanan air juga bagus dan dua elemen itu yang amat dititikberatkan Nik Mohamed dalam menjamin kualiti penginapan mesra alam.

Reka bentuk dilakar sendiri Nik Mohamed yang mengadaptasi sempurna iklim tropika negara ini. Tiada siling rata diterapkan dalam pembinaan, malah bagi mengatasi masalah nyamuk, pokok dill yang terkenal sebagai penghalau nyamuk semula jadi kini giat ditanam di persekitaran chalet.

Dua chalet pertama Danau Daun beroperasi sejak Disember 2012. Dua lagi menyusul dengan sebuah daripadanya dibina dengan konsep kotej yang turut didatangkan bersama annex.

GOPR2684-1.jpg-cDanau Daun 1 mampu memuatkan lima pengunjung dewasa dan empat kanak-kanak. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

“Kebanyakan pengunjung merupakan orang tempatan dan kini ia mula menarik perhatian pelancong asing. Ia popular dalam kalangan pengunjung berkeluarga dan berpasangan serta tidak difokuskan kepada kumpulan besar.

“Tiada perancangan untuk membuka cawangan Danau Daun di tempat lain selain Janda Baik. Kerana objektif utama kami bukanlah mencari keuntungan tetapi menampung perbelanjaan BANZ.

“Sudah tentu kami mahu perusahaan ini untuk berkembang dari segi kedatangan pengunjung dan penambahan chalet agar lebih banyak sumbangan dapat diagihkan kepada BANZ,” anak kelima Nik Mohamed, Nik Zaid Hanis Nik Mohamed, 30, merangkap pengurus Danau Daun menyambung penjelasan.

GOPR2707-1.jpg-cKolam yang mengelilingi Danau Daun 1 dan 2 pada asalnya adalah sebuah paya yang mendapat aliran berterusan dari sungai berdekatan. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

Menjelang malam, pekarangan Danau Daun diterangi lampu-lampu mini beratapkan pokok nibong . Terang bulan dan bintang melimpahi langit juga menyerlahkan kemegahan chalet-chalet kayu di Danau Daun. Bunyi-bunyian cengkerik dan unggas malam mendendangkan simfoni alam merdu yang sempurna meredakan kecamuk jiwa.

Danau Daun adalah rumah kedua semua insan yang mahukan kedamaian. Pagi anda akan ditemani kabus bukit. Isi hari-hari santai anda dengan bersenang-lenang di anjung rumah yang digenangi air sungai. Di pinggir rumah pula tersedia kolam untuk berendam(dipping pool) yang mengalir terus air dari sungai untuk menyejukkan tubuh.

Biarpun chalet-chalet di Danau Daun tidak dibenarkan untuk memasak, masih tersedia dapur yang dilengkapi ketuhar gelombang mikro dan peti sejuk mini. Ruang untuk barbeku (BBQ)turut disediakan sekiranya pengunjung mahu melapangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga mahupun sahabat.

GOPR2746-1.jpg-cDanau Daun 3 sempurna untuk pengunjung yang mahukan ekstra privasi dan ia turut dilengkapi kolam renang persendirian. Foto/Saiful Anuar Sabri/Pepatung

“Sejak beroperasi hampir tiga tahun, terdapat banyak permintaan daripada pelanggan yang menginginkan dewan dan internet.

“Sebagai chalet untuk eskapisme bersifat peribadi dan kekeluargaan, dewan mungkin tidak praktikal untuk kami sediakan. Manakala ketiadaan kabel yang dibangunkan bagi akses internet di kawasan ini juga menyulitkan kami mewujudkan kemudahan tersebut setakat ini,” tambah Nik Zaid Hanis.

Memastikan chalet sentiasa berada dalam keadaan bersih adalah antara cabaran utama dalam pengurusan chalet yang terletak di tengah-tengah hutan. Daun-daun kering, ranting dan dahan rapuh yang jatuh di sekitar chalet mesti dibersihkan setiap kali sebelum pengunjung baharu mendaftar masuk.

Sedang dalam proses menyediakan pakej penginapan untuk para pengunjung, keistimewaan Danau Daun semestinya akses singkatnya dari bandar raya Kuala Lumpur yang hanya memakan masa 30 minit pemanduan. Hutannya masih terpelihara dan kondisi jalan untuk laluan kenderaan juga memberi keselesaan pengunjung untuk keluar masuk.

Info Danau Daun Chalets:
Laman web: www.danaudaunchalets.com
Lokasi: Lot 5347, Kg. Sum-Sum Hilir, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang
Facebook: Danau Daun Chalets
E-mel: [email protected]

Foto Kredit: Pepatung & Danau Daun Chalets

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. sabree hussin

    16 October 2015 at 5:15 PM

    Tengok pada gambar-gambar pun dah rasa menarik. janda baik, tak begitu jauh dengan tempat saya tinggal!

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *