Cara mengetahui tahap kewangan anda berada pada paras bahaya

0
10

HIDUP di zaman moden begitu mencabar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar. Apapun, hal ini lebih difokuskan kepada golongan yang berpendapatan sederhana. Rata-rata dilihat begitu gigih untuk meraih pendapatan demi meningkatkan taraf hidup.

Jika golongan ini tidak mempunyai perancangan kewangan yang bijak, besar kemungkinan mereka tidak mempunyai simpanan. Bukan sahaja untuk masa depan tetapi juga pada waktu kecemasan. Ini kerana, pendapatan bulanan yang diperoleh habis dibelanjakan untuk membayar komitmen bulanan.

Percaya atau tidak, lebih banyak pendapatan yang diperolehi, lebih banyak wang yang akan mengalir keluar. Sebagai contoh, jika seseorang itu memperolehi gaji sebanyak RM4,000 sebulan, adakah individu tersebut hanya ingin membeli beg berjenama murah?

Sudah tentu kehendak individu tersebut mula berubah ke arah membeli barangan mewah. Jika anda sendiri meletakkan diri di situasi yang sama, pasti anda juga akan bersifat sedemikian kerana anda tahu anda mampu.

Berbalik kepada topik bagaimana untuk mengetahui tahap kewangan anda pada paras bahaya, ianya akan dapat diketahui apabila anda mula berbelanja melebihi pendapatan setiap bulan. Akhirnya, anda terpaksa mengabaikan simpanan tetap yang sepatutnya disimpan setiap bulan.

Jika perkara ini berlaku, maka anda sudah mula tidak tahu untuk mengawal perbelanjaan harian. Hal ini akan mendorong anda untuk menggunakan kad kredit kerana duit gaji sudah habis sebelum sempat tiba hujung bulan.

Tidak salah untuk anda menggunakan kad kredit, namun jangan sampai anda dibelenggu hutang kerananya. Sekiranya anda seorang yang bijak mengawal diri daripada berbelanja dan tahu bagaimana mengawal perbelanjaan anda, silakan untuk anda memiliki dua atau tiga kredit kad. Akan tetapi, jika anda tidak tahu mengawalnya, ia akan membawa anda ke paras kewangan bahaya.

Seumpama anda menggali lubang sini dan anda cuba menutup lubang satu lagi. Akhirnya, diri sendiri yang terbelenggu dan terbeban untuk menanggung komitmen yang begitu banyak.

Oleh itu, anda perlu berhati-hati jika ingin menambah komitmen atau berbelanja. Pastikan tahap kewangan anda berada di tahap yang kukuh dan pendapatan yang diperolehi mencukupi untuk menampung segala komitmen dan perbelanjaan anda.

Ayat yang lebih mudah – berbelanjalah mengikut kemampuan. Jangan sampai menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk memenuhi kehendak kehidupan gaya mewah sehingga mengakibatkan diri terbeban dengan hutang yang tiada penghujung. Jadi sentiasa berhati-hati dan memeriksa tahap kewangan anda adakah ia di paras bahaya atau tidak. – NINA JURY

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini