Gaya Hidup

Cara berjimat tanpa perlu ikat perut

By  | 

SEJAK kebelakangan ini, kos kehidupan yang semakin meningkat begitu dirasai, lebih-lebih lagi buat mereka yang baru memasuki alam pekerjaan. Kebiasaannya, golongan yang masih berusaha untuk membiasakan diri dengan kerjaya ini masih kurang peka terhadap urusan menyimpan wang.

Apabila sudah teruja memiliki duit gaji sendiri, pasti keinginan untuk berbelanja akan menjadi lebih tidak terkawal sehinggakan duit akan dikeluarkan untuk membeli barang yang tidak perlu.

Seharusnya, anda perlu bijak dalam mengawal perbelanjaan setiap bulan dalam misi untuk berjimat dan memulakan simpanan yang tetap. Walaupun keadaan ekonomi agak meruncingkan kini, namun tidak mustahil untuk anda berjimat jika setiap perbelanjaan dikenal pasti terlebih dahulu. NINA JURY menyenaraikan beberapa langkah mudah untuk berjimat, tanpa perlu menyekat keinginan anda untuk berbelanja:

1) Senaraikan semuanya
Perkara paling utama adalah dengan menyenaraikan setiap apa yang ingin dibayar dan dibeli. Hal ini bagi mengelakkan anda berbelanja ke arah sesuatu yang bukan menjadi keperluan. Menyediakan senarai perbelanjaan akan membantu anda untuk berjimat dan tidak berbelanja melebihi bajet yang telah ditetapkan.

2) Masak sendiri
Kurangkan makan di luar dalam usaha untuk anda menjimatkan perbelanjaan. Kalau ingin berjimat anda perlu berusaha dan lebih rajin untuk memasak di rumah. Jika kos nasi campur RM6 untuk seorang dan sekali makan, bayangkan jika anda makan sebanyak tiga kali sehari dengan kos yang sama. Jumlahnya akan menjadi RM18 sehari.

Selain boleh berjimat, dengan memasak di rumah membolehkan anda makan berulang kali sehari. Sekiranya lauk tidak habis, anda boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan panaskan semula pada keesokan hari untuk dibawa bekal ke tempat kerja.

3) Kawal diri
Hanya anda yang mengenali diri anda dan bagaimana cara untuk anda mengawal diri sendiri dalam berbelanja. Jika anda menganggap diri anda sebagai seorang yang boros, elakkan daripada mengguna kad kredit dan hadkan jumlah wang di dalam akaun bank.

Seeloknya, baki di bank cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan hingga hujung bulan. Baki selebihnya pula anda boleh masuk ke dalam akaun yang tidak mempunyai kad pengeluaran di mesin ATM bagi mengelakkan pengeluaran berlebihan.

4) Tetapkan simpanan
Kebanyakan daripada kita begitu mudah menetapkan jumlah wang untuk disimpan, namun tidak ramai yang mampu mengekalkan tabiat menyimpan mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil sebagai contoh RM50 setiap bulan, namun perlu konsisten. Kemudian gandakan jumlah simpanan sehingga anda benar-benar berdisplin dalam membuat simpanan tetap.

5) Tetapkan Jangka Masa
Menetapkan jangka masa dalam melakukan sesuatu perkara amat penting demi memastikan anda mencapai matlamat sebenar. Ia juga penting supaya anda tidak tersasar daripada jangka masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jika anda bercadang untuk pergi bercuti ke Jepun dan kos diperlukan sebanyak RM5,000.

Sudah tentu anda mula membuat perancangan kewangan serta menetapkan jangka masa untuk mula menyimpan. Contohnya, dalam masa setahun walau apapun anda perlu menyimpan duit sebanyak RM5,000.

Demi merealisasikan impian anda untuk bercuti ke Jepun, penetapan matlamat ini memudahkan usaha anda untuk mula menyimpan dan secara tidak langsung boleh membantu anda berjimat dan tidak membazir.

Comments

comments

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *