Terima tempahan 400 pasang, baju Melayu kekal relevan

0
46

SEJAK 700 tahun dahulu, ketika pemerintahan Sultan Melaka, Sultan Muhammad Syah, baginda mempunyai falsafah fesyen tersendiri. Justeru, baginda memperkenalkan kod pakaian rasmi untuk rakyat atau kerabat diraja yang ingin mengadap sultan atau permaisuri.

Pakaian rasmi tersebut terdiri daripada baju dan seluar. Baju diinspirasikan daripada bangsa Qibti, Mesir manakala seluar dari Turki. Gabungan kedua-duanya itulah membentuk sepasang baju Melayu.

FOTO/KARL SHAFEK IBRAHIM

Di Malaysia, baju Melayu terbahagi kepada dua, iaitu baju Melayu cekak musang dan baju melayu teluk belanga (Johor). Untuk baju cekak musang, maksud lima butang itu sendiri menandakan lima rukun Islam.

Baju Melayu teluk belanga pula  berasal dari Teluk Belanga (kini Telok Blangah), Singapura. Lokasi itu dahulu merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Johor. Maksud satu butang bagi baju teluk belanga menandakan tauhid atau keesaan Tuhan.

Tiga poket yang terdapat pada baju Melayu mewakili Islam, iman dan ihsan.

Baru-baru ini, Pepatung berkesempatan menemu bual pengusaha baju melayu klasik, KAS Tailor, Kasman Yahya di butiknya yang terletak di Wisma Yakin, Kuala Lumpur. Menurut Kasman, 58, baju Melayu yang direkanya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional meskipun terdapat ramai yang mencipta baju Melayu moden.

KASMAN MEMPUNYAI PENGALAMAN LEBIH 20 TAHUN MENYEDIAKAN BAJU MELAYU/FOTO/KARL SHAFEK IBRAHIM

“Mungkin baju melayu moden cantik dipakai ketika hari raya, tetapi tidak praktikal untuk majlis atau hari-hari lain. Berbanding baju Melayu klasik, ia sesuai dipakai ketika hari raya dan dibawa ke masjid terutamanya untuk menunaikan solat Jumaat,” ujar Kasman yang  telah mempunyai cawangan kedua di Shah Alam, Selangor.

Kebanyakan pelanggan KAS Tailor cenderung untuk menempah daripada membeli baju melayu siap (ready made). Kasman sendiri akan mengukur ukuran badan pelanggan agar baju Melayu tersebut menepati saiz dan keselesaan si pemakai.

Tambah Kasman, pelanggan generasi Y pula lebih suka menempah baju Melayu moden berbanding baju melayu klasik.

Perbezaan baju Melayu klasik dan moden tidak begitu ketara. Baju Melayu klasik mempunyai pesak manakala baju Melayu moden tidak mempunyai pesak dan mengikut potongan slim fit.

GENERASI BAHARU CENDERUNG MENEMPAH ATAU MEMBELI BAJU MELAYU BERPOTONGAN SLIM FIT/FOTO/KARL SHAFEK IBRAHIM

“Kebanyakan baju Melayu siap tidak memenuhi standard baju melayu asli. Misalnya saiz lengan baju yang tidak berpadanan dengan kolar baju. Ia menyebabkan saiznya kurang tepat sama ada terlalu longgar atau terlalu ketat.

“Teknik jahitan yang semberono juga membuatkan baju Melayu moden kurang kemas,” jelas Kasman yang bercadang untuk bersara dalam tempoh 2 tahun lagi.

Meskipun harga tempahan di KAS Tailor lebih tinggi berbanding harga baju Melayu siap, tetapi, mereka masih menerima tempahan dan untuk Aidilfitri tahun ini sahaja, sekitar 400 pasang baju Melayu sedang dijahit.

BILANGAN TEMPAHAN BAJU MELAYU INI MENCATATKAN SEDIKIT PENURUNAN YANG MUNGKIN BERPUNCA DARIPADA PENJIMATAN ORANG RAMAI/FOTO/KARL SHAFEK IBRAHIM

Selain kekemasan jahitan, penggunaan kain yang berkualiti dan sikap murah hati Kasman yang suka memberi diskaun membuatkan pelanggannya kekal setia sehingga hari ini.

Apabila ditanya tentang kebangkitan kurta dan baju Melayu moden, Kasman menegaskan: “Tergugat sedikit, tetapi saya mempunyai pelanggan daripada setiap generasi. Pelanggan juga bijak membezakan kualiti dan keselesaan pakaian yang saya sediakan.”

Kini setelah beratus tahun berlalu, baju Melayu klasik masih berdiri teguh di Malaysia, Brunei, Singapura, Sumatera (Indonesia) dan selatan Thailand. Walaupun terdapat lambakan baju Melayu moden dalam pasaran, tetapi baju Melayu klasik masih mendapat tempat di hati masyarakat.

FOTO/KARL SHAFEK IBRAHIM

Baju Melayu tidak perlu melalui fasa urbanisasi yang berlebihan kerana ia menghakis ciri-ciri sentimental. Kasman turut berpesan agar mengekalkan ciri-ciri klasik baju Melayu.

Sejujurnya baju Melayu tidak perlu diberi nafas baharu dengan rekaan janggal tetapi memadai kita sebagai penyambung warisan terus memakai dan mengekalkan ciri-ciri klasik baju Melayu.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini