Budaya

Signifikan Thaipusam, makna di sebalik kavadi, pecah kelapa dan cucuk badan.

By  | 

MALAYSIA antara negara yang meraikan Thaipusam secara besar-besaran. Sebagai etnik ketiga terbesar di negara ini, masyarakat India yang majoritinya penganut agama Hindu akan membanjiri jalanan dan berarak menuju ke kuil-kuil utama.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Batu Caves antara destinasi suci dominan di Malaysia yang menyaksikan perhimpunan terbesar penganut agama Hindu pada hari Thaipusam. Ia juga menjadi hari paling mengujakan rakyat Malaysia yang berlainan bangsa dan agama serta pelancong luar negara untuk bersama-sama menikmati pengalaman spiritual Thaipusam.

Bagaimanapun, adakah kita memahami erti sebenar Thaipusam dan mengapa ia diraikan? Seorang penganut agama Hindu yang juga telah mengikuti perarakan kereta berhala pada hari Thaipusam selama 25 tahun, Nizha Periaswamy, berkongsi informasi bermanfaat untuk kefahaman pembaca Pepatung.

Apa itu Kavadi?

Kavadi pada definisinya merupakan benda berhias yang diusung pada sebelah bahu oleh penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam untuk memuja Dewa Murugan (Subramaniam).

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Kavadi paling asas dan tradisional adalah dengan menjunjung sahaja. Ia boleh dilakukan golongan perempuan dan kanak-kanak. Manakala, kebanyakan lelaki yang lebih berani akan membawa kavadi dengan anggota badan yang bercucuk batang besi.

Kenapa badan dicucuk besi?

Sama ada batang besi dicucuk di belakang badan, tangan atau lidah, mereka perlu berpuasa selama 48 hari sebelum upacara itu dilaksanakan. Dalam tempoh berpuasa juga mereka perlu menjalani kehidupan yang sangat sederhana. Misalnya, mereka tidak dibenarkan tidur di atas katil atau beralaskan tilam. Berbuka puasa pula hanya dengan makanan vegetarian.

Tujuan utama ia dilaksanakan adalah bagi membayar nazar. Terdapat individu yang bernazar untuk menjalankan upacara tersebut setiap tahun. Maka apapun yang berlaku, mereka mesti menunaikannya.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Ia bukan bertujuan untuk menyucikan diri seperti yang dipercayai kebanyakan orang. Pelunasan nazar adalah kunci terhadap segala ritual yang disaksikan pada hari Thaipusam. Ia juga satu cara bagi mereka berterima kasih kepada Tuhan.

Menurut kepercayaan juga, pelaksanaan upacara-upacara sedemikian akan membolehkan Tuhan meniupkan semangat ke dalam tubuh mereka.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Terdapat pelbagai cara bagi menunaikan nazar. Ada yang membotakkan kepala dan pernah suatu ketika di Malaysia amalan berjalan di atas parang dilaksanakan.

Apakah yang diisi di dalam belanga kecil?

Belanga kecil yang sering dijunjung di atas kepala sebenarnya diisi dengan susu. Malah setiap kavadi juga sebenarnya memuatkan sebilangan belanga kecil yang mengandungi susu.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Susu dianggap antara elemen paling suci oleh penganut agama Hindu. Susu yang dibawa di dalam kavadi mestilah di dalam tetapan nombor ganjil. Selain susu, air mawar juga turut dibawa di dalam belanga kecil tersebut. Susu yang dibawa kemudiannya disiram di atas berhala setibanya mereka di kuil.

Apa pula kaitannya dengan kelapa?

Kita sering mengaitkan Thaipusam dengan upacara memecahkan kelapa. Namun, ramai yang tidak mengetahui signifikan di sebalik amalan tersebut.

Dari luaran, kelapa disaluti kulit yang kasar, keras dan kotor. Apabila ia dipecahkan, bahagian dalamannya sungguh berbeza. Isi kelapa yang putih, lembut dengan airnya yang sedap, melambangkan pencarian kebijaksanaan di dalam kehidupan.

FOTO: HUWAWEI89PHOTOGRAPHY

Ia membantu membuang cas-cas negatif yang terperangkap di dalam badan, menyerlahkan sisi diri yang lebih positif. Itu merupakan sebab asal kelapa dipecahkan pada hari Thaipusam.

Kini ia turut menjadi sebahagian daripada medium pelunasan nazar. Seperti belanga kecil berisi susu, kelapa yang dipecahkan juga perlulah dalam tetapan nombor ganjil.

Selain itu, bunyi yang dihasilkan ketika kelapa dipecahkan juga diibaratkan seperti membuang bebanan atau kekusutan fikiran, sekali gus memberi kelapangan kepada jiwa.

Signifikan meraikan Thaipusam?

Mengikut kalendar Hindu, Thaipusam jatuh pada bulan Thai dan bintang pusam (Thai + pusam = Thaipusam). Ia merupakan hari penganut agama Hindu meraikan Dewa Murugan. Dewa yang sering mendiami tempat-tempat tinggi dan tersembunyi seperti gunung, bukit dan gua itu juga difahamkan terkenal dengan sifatnya yang kuat merajuk.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Justeru, Thaipusam sebenarnya adalah hari kelahiran Dewa Murugan. Pada hari tersebut, berhala Dewa Murugan akan disiram dengan susu, bertujuan untuk memberi ketenteraman sekali gus menerbitkan kegembiraan kepadanya. Penganut agama Hindu percaya bahawa, Dewa Murugan kemudiannya akan menunaikan hajat dan doa yang dipohon oleh mereka.

FOTO: TAUFIQ NADZRI (@taufiqnadzri) / FUN-FUN STUDIO (@funfunstudio.my)

Kuil-kuil yang menempatkan berhala Dewa Murugan kebiasaannya dibina di tempat-tempat tinggi (Batu Caves misalnya) atau dibina dengan anak-anak tangga menuju ke tempat sembahyang.

Identiti Dewa Murugan?

Dewa Murugan mempunyai banyak nama dan antara yang popular ialah Subramaniam. Setiap nama mewakili kisahnya yang berbeza, tetapi masih merujuk kepada dewa yang sama.

FOTO: FAIRLYODDPKA

Difahamkan, Dewa Murugan lahir dari mata ketiga Dewa Shiva (di tengah dahi) dan satu-satunya yang lahir daripada lelaki.

Bagi yang tertanya-tanya identiti berhala besar berwarna emas yang terdapat di Batu Caves, sebenarnya itulah Dewa Murugan.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *