Penghapusan adat pesta puja pantai dan mandi Safar

0
58

PESTA  Puja Pantai sangat terkenal di Pantai Timur. Dilakukan dengan tujuan untuk menolak bala berikutan kedatangan musim tengkujuh dan dengan tujuan supaya semangat hantu laut tidak mengganggu dan merestui nelayan ketika mereka turun ke laut.

Pesta Puja Pantai diadakan sekali dalam tiga atau empat tahun.

Kebiasaannya pesta puja pantai akan disambut selama beberapa hari. Khemah-khemah akan didirikan. Persembahan teater makyung,  menora, wayang kulit dan terdapat pelbagai permainan diadakan dan dipersembahkan.

Difahamkan tujuan utama pesta penyemahan itu diadakan adalah kerana mereka percaya adanya kuasa mistik yang menguasai sesuatu tempat misalnya laut.

FOTO/RIAUMANDIRI

Mereka percaya dengan memberi jamuan sehingga kenyang kepada semangat, jin atau hantu, ia tidak akan mengganggu mereka dan nelayan dapat turun ke laut tanpa ditimpa bala atau penyakit sekali gus menghidarkan diri dan keluarga daripada kecelakaan.

Bomoh dan pawang akan dipanggil untuk mengetuai upacara penyemahan ataupun jamuan. Kebiasaannya organ-organ dalaman kerbau akan dihanyutkan menggunakan sampan kecil yang dipanggil nadai.

Bomoh akan turun ke pinggir air, sambil menabur beras kunyit dan bertih sambil mulut terkumat-kamit membaca mantera.

Pada hari terakhir, seekor kerbau balar (putih) akan disembelih dan dihanyutkan di pantai. Senario ini kebiasaannya dapat dilihat di sepanjang pantai terutama pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memenangi kerusi majoriti dan membentuk kerajaan Kelantan, PAS telah mengharamkan pesta ini kerana bersifat membazir dan mensyirikkan Allah. Ini berikutan dengan menjamu dan anggapan wujudnya kuasa lain yang lebih berkuasa daripada Allah.

FOTO / CARI INFONET

Selain itu, antara amalan khurafat bangsa Melayu yang telah pupus adalah pesta Mandi Safar. Pesta tersebut bertujuan untuk menolak bala dan menghapus dosa dengan mandi beramai-ramai di sungai atau laut. Lazimnya dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir bulan Safar.

Kini setelah kebangkitan dan kesedaran ajaran Islam yang tulen telah menghapuskan amalan-amalan yang pernah mewarnai sketsa kehidupan orang Melayu suatu ketika dahulu.

Amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengandungi bacaan mantera dan meminta pertolongan selain Allah telah diharamkan.

Kesedaran ini muncul ketika zaman revolusi Islam di Tehran. Malaysia juga tidak ketinggalan mengubah landskap pemikiran yang lebih Islami dibantu oleh anak-anak Melayu yang menimba ilmu pengajian Islam di luar negara.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini