HARI ini, 31 Ogos 2017, genaplah negara menyambut kemerdekaan yang ke-60. Bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, Hari Kebangsaan 2017 turut diraikan dengan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

FOTO/MALAYMAILONLINE

Pada majlis penutupan rasmi semalam, Malaysia menamatkan saingan di tangga teratas dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. Thailand pula menghuni tangga kedua dengan 72 pingat emas diikuti Vietnam dengan 58 pingat emas.

Tidak dinafikan, lewat kebelakangan ini, perpaduan masyarakat Malaysia semakin terhakis. Pergeseran fahaman politik telah memecahkan kesepakatan rakyat, khususnya antara kaum yang berbeza.

Sikap tolak ansur yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini kian memudar. Toleransi bukan lagi keutamaan. Ideologi politik dan perjuangan menyentuh sensitiviti agama dan kepercayaan masyarakat lebih dihebohkan.

Begitupun, jangan sesekali menggadaikan maruah tanah tumpahnya darah yang dicintai ini. Jauh ke mana kaki melangkah, tinggi mana kejayaan menerbangkan nama, berpeganglah kepada lima prinsip Rukun Negara.

Malaysia ini milik kita bersama. Sempena hari bersejarah ini, mari berkenalan dengan simbol dan ikon perpaduan Malaysia yang sentiasa berhasil menyatukan hati rakyat negara ini.

1) Teh tarik

FOTO/CARNIVAL MUNCHIES

Minuman kegemaran majoriti rakyat Malaysia. Ia terdapat di semua kedai makan termasuk hotel bertaraf lima bintang. Teh tarik telah menjadi simbol perpaduan rakyat sejak sekian lama. Hanya dengan segelas teh tarik, perselisihan faham boleh diselesaikan dengan baik.

2) Dato’ Lee Chong Wei

Jaguh badminton negara ini antara ikon perpaduan paling hebat pernah dimiliki Malaysia. Setiap kali Chong Wei turun ke gelanggang berjuang untuk kejayaan negara di arena antarabangsa, seluruh rakyat Malaysia turut sama memberi sokongan penuh. Hanya Chong Wei mampu membuatkan rakyat Malaysia mengenepikan isu bangsa, agama dan politik.

FOTO/THE TELEGRAPH

Tidak kira kalah atau menang, dorongan rakyat Malaysia kepada Chong Wei sentiasa menyala. Beliau bukan sekadar atlet yang bertanding dalam sukan badminton, beliau ialah pemimpin perpaduan sejati kesayangan negara.

3) Nasi lemak

FOTO/SBS

Sajian tempatan yang menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia ketika bersarapan. Meskipun beridentiti Melayu, tetapi nasi lemak menjadi simbol kesepaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Kita berkongsi keenakan hidangan ini dengan bahagia. Tidak pula orang Melayu di negara ini menuntut agar ia diisytiharkan sebagai milik orang Melayu.

4) Dato’ Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara ini meskipun lebih mendominasi muzik Melayu, tetapi pengaruhnya merentasi bangsa di Malaysia. Siti menerusi lagu-lagu tradisionalnya seperti Cindai, berjaya memikat hati majoriti rakyat Malaysia (bukan orang Melayu sahaja).

FOTO/YOUTUBE

Konsertnya juga dihadiri pelbagai bangsa yang mengagumi bakat besarnya. Bahkan, Siti juga sering dirujuk sebagai ‘duta keamanan’ serantau apabila melibatkan perbalahan antara Malaysia dan Indonesia.

5) Roti canai

FOTO/REBECCA SAW

Satu lagi makanan yang begitu intim dengan rakyat Malaysia. Roti canai kebiasaannya dinikmati di kedai-kedai mamak bersama segelas teh tarik. Sama ada anda Melayu, Cina, India atau lain-lain, sukar untuk menolak sepinggan roti canai banjir!

6) Durian

Raja buah yang kurang digemari sebahagian besar rakyat negara lain kerana baunya. Durian di Malaysia bagaikan lambang keunikan negara. Menjelang musim durian, banyak gerai-gerai tepi jalan dibuka. Pesta durian juga meriah dianjurkan.

FOTO/THE CHALKBOARD MAG

Menariknya, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa dan agama boleh berkongsi meja, duduk bersama menikmati durian. Begitu hebat penangan buah ini.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini