Belajar secara percuma di sembilan buah negara

0
547

MENYAMBUNG pelajaran di luar negara bagaikan sudah menjadi trend dalam kalangan golongan muda masa kini. Saban tahun, ratusan pelajar dari Malaysia terbang ke universiti pilihan masing-masing di seluruh dunia untuk mendapatkan master atau PhD. Malah, kesempatan tersebut turut diambil untuk berjalan-jalan ke tempat menarik sambil memuat naik gambar-gambar yang diambil ke laman Instagram dan Facebook untuk dikongsikan bersama rakan-rakan dan pengikut.

Namun, pembelajaran di luar negara memerlukan kos yang sangat tinggi. Apatah lagi jika nilai tukaran mata wang negara yang ingin dituju adalah sangat besar jika dibandingkan dengan negara asal. Ada sekelompok pelajar yang bernasib baik mendapat bantuan biasiswa penuh. Ada juga yang hanya mendapat ‘pinjaman’ pelajaran dan perlu membayar balik sejumlah wang selepas tamat belajar di universiti masing-masing.

Begitupun, jika anda mahu menyambung pelajaran tetapi tidak mempunyai wang yang mencukupi, Pepatung menyenaraikan sembilan buah negara yang memberikan pembelajaran percuma kepada rakyat mereka dan juga kepada pelajar asing.

Jerman
Germany

Pelajaran peringkat universiti di negara ini adalah percuma, juga untuk pelajar antarabangsa. Rasional di sebalik keputusan itu? Senator di Hamburg pernah berkata: “Kami memansuhkan yuran pembelajaran kerana kami mahukan pendidikan tinggi yang tidak terikat dengan kekayaaan ibu bapa pelajar.”

Finland
Finland

Universiti-universiti di Finland menyediakan kelas secara percuma dan beberapa subjek dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, mereka tidak akan menanggung kos sara hidup bagi pelajar antarabangsa.

Perancis
France

Pelajaran di Perancis tidaklah ‘percuma’ tetapi universiti awam di sana boleh dikatakan berpatutuan. Pelajar hanya perlu membayar yuran serendah RM700.

Sweden
Sweden

Walaupun hanya program PhD ditawarkan secara percuma di negara ini, namun, 900 program berbahasa Inggeris yang ada di 35 universiti di sana boleh disifatkan sebagai antara yang berpatutan.

Norway
Norway

Pelajar antarabangsa boleh mendapatkan pendidikan di Norway sama dengan apa yang ditawarkan di Amerika Syarikat tanpa perlu mengeluarkan sebarang wang. Begitupun, negara itu merupakan antara negara yang mempunyai kos sara hidup yang sangat tinggi untuk expatriat.

Slovenia
Slovenia

Hanya yuran permulaan yang perlu dibayar untuk menghadiri salah satu daripada 150 program yang ditawarkan oleh beberapa universiti di Slovenia. Bagaimanapun, menurut laporan yang dikeluarkan Washington Post, tiada satu pun universiti daripada negara itu yang tersenarai dalam universiti dunia.

Brazil
Brazil

Negara Brazil juga mengenakan yuran pendidikan yang sangat minima. Namun, program berbahasa Inggeris yang ditawarkan tidak terlalu banyak.

Luxembourg
Luxembourg

Walaupun negara itu mempunyai hanya satu universiti, namun, University of Luxembourg menawarkan kelas dalam pelbagai bahasa termasuklah Perancis, Jerman dan Inggeris. Dalam pada itu, seramai 6,157 pelajar antarabangsa daripada 107 negara mendapat pendidikan secara percuma di sana.

Iceland
Iceland

Empat universiti di negara ini tidak mengenakan sebarang yuran pendidikan. Bagaimanpun, setakat ini, hanya lima peratus sahaja pelajar antarabangsa yang menyambung pelajaran di sana. Tetapi, jumlah itu semakin meningkat dengan penambahan program dengan medium penghantaran bahasa Inggeris.

Kredit gambar: Wikipedia/ Christian Science Monitor/ Bloomberg/ Morten Falch Scortland/ Getty Images/ AP/ AFP

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini