Azam tahun 2015 yang perlu dilaksanakan oleh pengguna tegar media sosial

0
22

TAHUN 2014 menyaksikan kegilaan penghuni dunia terhadap laman media sosial. Sama ada memuat naik gambar di Instagram, mengulang tweet (retweet) di Twitter atau pun berkongsi video viral di Facebook, aktiviti-aktiviti sebegini bagaikan sudah menjadi rutin kebanyakan semua orang khususnya pengguna telefon pintar.

Justeru, sempena kedatangan tahun baru 2015, Pepatung menyeru agar pengguna media sosial untuk bertatih bersama azam baharu supaya produktiviti anda sebagai seorang manusia dapat berjalan lebih lancar, tanpa kehadiran gajet dan #hashtag.

1) Jangan bazirkan masa menyusun objek bagi menjadikan gambar Instagram kelihatan cantik seperti dalam majalah. Pasti anda berasa malu jika ada yang mengetahui berapa lama masa yang diambil semata-mata untuk menyusun #OOTD anda di atas katil?

2) Amalkan ‘diet hashtag’. Ya, tiada siapa yang mahu baca segumpal #hashtag berbentuk perenggan di ruangan kapsyen Instagram anda.

3) Rehatkan amalan selfie anda. Sasaran tahun baru: banyakkan bergambar dengan manusia lain.

4) Biarlah rakan anda makan dahulu. Jangan buat mereka tertunggu-tunggu masa untuk makan semata-mata anda mahu mengambil gambar hidangan penuh dari atas dan memuat naiknya di laman Instagram. Sebelum ini anda masih boleh makan tanpa menjalankan sesi fotografi ke atas hidangan anda bukan?

5) Bersihkan senarai rakan di Facebook. Jika anda masih menggunakan Facebook, mengapa anda masih berkawan dengan kenalan yang anda kenali ketika menghadiri kelas tuisyen sekitar 10 tahun lalu? Buang rakan yang tiada kena-mengena dengan anda sekali gus memberikan lebih ruang untuk mata anda daripada perlu menghadap gambar bayi mereka.

6) Berhentilah daripada menghendap (stalking). Ya, jika anda dengan gigihnya menghendap akaun bekas kekasih anda bagi melihat gambar teman wanita semasanya yang dimuat naik pada 57 minggu lalu. Erk!

7) Berilah masa untuk menghargai LinkedIn. Tidak dinafikan, jika LinkedIn ialah seorang manusia, dia merupakan anak tiri yang sering dilupakan dalam sebuah keluarga besar. Kemas kini profil, terima undangan yang telah berbulan tersimpan di dalam peti inbox akaun dan jangan lupa untuk menambah info berkenaan kerjaya terkini anda. Mana tahu, ia mampu membuka peluang yang besar kepada karier anda kelak.

8) Sudah-sudahlah meroyan. Mungkin sudah menjadi sifat manusia untuk berkongsi amarah bersama rakan-rakan. Tetapi tahukah anda, disebabkan perkara tersebut anda boleh di-mute-kan atau di-invisible-kan di laman Twitter dan Facebook. Tiada siapa yang gemar membaca kata-kata meroyan anda, melainkan anda adalah artis popular yang gemar meluahkan perasaan di Instagram setiap kali ditinggalkan teman lelaki.

9) Kurangkan keinginan untuk menghakimi. Jika sesebuah rancangan itu mempunyai hakim profesional yang dilantik, mungkin kita tidak perlu memberikan buah fikiran ekstra terhadap rancangan berkenaan.

10) Beranikan diri untuk jauhi telefon pintar anda. Sepanjang 2014, mungkin anda menghabiskan hampir setiap jam memegang gajet yang pada mulanya dicipta untuk memudahkan kita berkomunikasi. Apa kata, letakkan telefon anda sebentar dan bersosial dengan rakan-rakan. Hayati detoks sosial media anda untuk tahun ini dan percayalah, anda akan berasa lebih tenang walaupun tanpa pengetahuan pengikut anda di Instagram.

Kredit sumber: Harper’s Bazaar

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini