Tiga kecederaan akibat kesilapan teknik senaman

0
48

TIGA jenis kecederaan di bawah didapati paling kerap menimpa individu yang aktif dalam sukan. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini ia lebih kerap dihadapi mereka yang baru memulakan rejim senaman di gimnasium.

Tidak berpengalaman, tidak mengikut teknik dan cara yang betul, membuat latihan yang tidak sesuai dengan arah pergerakan sendi serta ketiadaan program latihan yang betul merupakan antara faktor utama terhadap kecederaan ini.

Jika anda sedang mengalami salah satu daripada kecederaan ini, pastikan anda mendapatkan khidmat pakar ortopedik dan fisioterapi. Sekiranya kecederaan anda tidak serius sehingga memerlukan pembedahan, teruskan program latihan seperti biasa dengan mendapatkan khidmat jurulatih kecergasan bagi menjalani pemulihan kecederaan terlebih dahulu.

Bagi yang bebas daripada sebarang kecederaan berikut pula, pastikan setiap teknik dan pergerakan latihan anda betul. Jalankan seni pemanasan badan sebelum memulakan senaman bagi mempersiapkan otot-otot dan lakukan penambahan berat beban secara berperingkat mengikut kekuatan otot-otot anda.

1) Kecederaan lutut
Melibatkan ketidakselesaan di bahagian depan dan belakang lutut pada peringkat awal kecederaan. Ia kemudiannya mengehadkan pergerakan kaki yang melibatkan sendi lutut. Sekiranya tidak dirawat, kecederaan akan membengkak sekali gus mengganggu pergerakan kaki dan berpotensi merosakkan rawan serta sendi lutut, menambah keseriusan kecederaan.

Foto/Sfexaminer

Kebanyakan masalah ini timbul apabila individu menerapkan teknik yang salah ketika menjalani latihan bebanan melibatkan otot-otot kaki. Pemilihan kasut yang tidak sesuai ketika berlari juga boleh menyumbang kepada kecederaan lutut.

2) Kecederaan bahu
Rasa sakit dan tidak selesa di bahagian bahu, tengkuk dan lengan merupakan antara tanda kecederaan bahu. Ia berpunca daripada tekanan dan penggunaan berlebihan pada sendi dan ligamen bahu. Hampir semua jenis latihan bebanan melibatkan bahagian atas badan seperti otot dada (otot pektoralis major) dan otot belakang (trapezius) menggunakan sendi dan ligamen bahu.

Foto/Wakesportsmedicine

Tekanan dan penggunaan berlebihan akan menyebabkan rasa sakit merebak sehingga ke bahagian belakang dan juga tangan (bisep dan trisep). Jika keadaan ini berterusan dan tidak dirawat, sendi dan ligamen akan menjadi lemah serta mudah membuatkan bahu terkehel (shoulder dislocation).

3) Kecederaan pinggang (lower back/lumbar pain)
Sekiranya anda seorang yang aktif, kecederaan di bahagian pinggang adalah satu mimpi ngeri yang perlu dielakkan.
Kecederaan ini amat menyakitkan dan tempoh rehat untuk proses pemulihan memakan masa yang lama. Malah hampir 80 peratus atlet yang mengalami kecederaan pinggang akan bersara kerana ia berkait rapat dengan bahagian tulang belakang.

4-adrenalin tiga cederaFoto/Socalpain

Gejala kecederaan pinggang pada peringkat awal adalah seperti sukar untuk menunduk, rasa sakit apabila berdiri lama dan sukar untuk berdiri dengan tegak. Tahap serius pula boleh mengakibatkan kelumpuhan tubuh badan. Kecederaan pinggang melibatkan tulang belakang.

Ia mungkin berpunca daripada latihan bebanan bahagian atas ataupun bawah badan (upper and lower body). Pinggang berfungsi sebagai pusat graviti dan apabila melakukan senaman, amat penting bagi mengelakkan daripada kecederaan pinggang. Pastikan anda melakukan senaman otot teras (core muscle) bagi menguatkan otot-otot di bahgian pinggang dan abdominal.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini