Program senaman bulan puasa

0
22

RAMAI menjangkakan akan mengalami penurunan berat badan sepanjang bulan Ramadan impak daripada berpuasa. Justeru majoriti individu tidak merebut kesempatan itu bagi menjalankan program latihan yang mampu memaksimumkan pengurangan lemak.

Sepanjang tempoh berpuasa selama tujuh hingga lapan jam, karbohidrat simpanan dalam badan (glikogen) akan dijadikan sumber tenaga. Bagaimanapun bagi tujuan pembakaran lemak, anda masih perlu melakukan aktiviti fizikal bagi membolehkan badan anda bekerja sekali gus memungkinkan penggunaan tenaga daripada sumber lemak simpanan.

Anda dibenarkan untuk mengurangkan tempoh latihan melibatkan pembakaran lemak sepanjang bulan puasa. Namun pastikan intensiti (keamatan) dikekalkan pada tahap 60 hingga 80 peratus daripada kadar maksimum denyutan jantung anda. Berikut merupakan garis panduan senaman yang bersesuaian ketika bulan Ramadan.

1) Latihan kardiovaskular

2-senam puasaFOTO/TODAYONLINE

Anda masih boleh meneruskan aktiviti pilihan masing-masing sama ada berjoging/berlari, berbasikal, bermain bola sepak, futsal atau badminton. Namun lakukannya kira-kira 30 minit sebelum waktu berbuka puasa. Pastikan ia tidak melebihi tempoh satu jam agar pembakaran sumber protein dalam badan dapat dielakkan kerana keadaan tersebut mampu mengakibatkan kehilangan jisim otot.

2) Latihan pecut dan explosive power

3-senam puasaFOTO/MENSFITNESS

Hanya memakan masa kira-kira 15 hingga 30 minit dan pembakaran lemak dalam badan dapat dimaksimumkan. Namun tahap kesukaran dan intensitinya lebih tinggi. Antara aktiviti di bawah program ini termasuklah larian pecut 30 meter, berlari mendaki bukit, melompat menggunakan tali skip, burpee dan squat jump. Lakukan sebanyak tiga hingga lima set ataupun mengikut keupayaan anda.

3) Program latihan Tabata

4-senam puasaFOTO/FITNORAMA

Program ini diperkenalkan oleh seorang saintis Jepun, Dr. Izumi Tabata pada 1996. Ia merupakan gabungan latihan melibatkan otot-otot besar dalam badan dan dilakukan dalam satu-satu masa ataupun dalam bentuk circuit (litar). Ketika ia dijalankan, keseluruhan otot badan akan diguna dan digerakkan. Latihan ini menuntut intensiti yang tinggi dan berkesan untuk pembakaran lemak serta menguatkan otot. Kurang dari 30 minit, latihan ini dapat diselesaikan. Hanya tiga set latihan Tabata melibatkan otot-otot besar diperlukan bagi mengurangkan lemak badan.

Kesimpulannya, selain memperbanyakkan ibadat pada bulan Ramadan, jadikan juga ia sebagai tempoh mengubah gaya hidup anda ke arah rutin yang lebih sihat. Anda boleh menggabungkan ketiga-tiga program latihan di atas dan dilakukan sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Pastikan anda bersahur dan tidak berbuka dengan mengambil terlalu banyak makanan dalam satu-satu masa. Disiplinkan diri untuk makan secara berperingkat agar sistem penghadaman tidak terganggu. Selamat berpuasa!

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini