Adrenalin Syahir Hamdan

Lima tabiat di gimnasium mesti dihindari

By  | 

GIMNASIUM (gim) merupakan pusat kecergasan yang semakin menjadi pilihan masyarakat Malaysia. Kian ramai orang tempatan memilih gim sebagai ‘sekolah’ utama bagi mendapatkan tubuh yang sihat. Bagaimanapun tidak semua mengambil berat perihal etika dan adab ketika berkunjung dan sepanjang bersenam di gim.

Lima tabiat yang dikongsikan menerusi Adrenalin Syahir Hamdan kali ini adalah antara pemandangan yang kerap dilihat di gim. Sekiranya anda antara pengunjung gim yang mengamalkan perlakuan di bawah, hentikannya serta-merta.

1) Pakaian tidak sesuai

1-tabiat gim Foto: nypost

Ramai yang tidak mengambil berat tentang aspek pemakaian bersesuaian ketika bersenam di gim. Selain memberikan keselesaan, pemilihan pakaian yang tepat turut menjamin keselamatan anda.

Pilih pakaian berfabrik ringan, cepat kering dan memudahkan pergerakan ketika bersenam. Meskipun sesetengah gim tidak menetapkan sebarang kod berpakaian, anda perlu mengambil inisiatif sendiri demi keselamatan dan melancarkan prestasi senaman. Kasut juga mesti sesuai dengan aktiviti yang anda jalankan.

2) Tidak meletakkan alatan di tempat asal

5-tabiat gim Foto: interestingthings

Gim merupakan sebuah kemudahan bersama. Maka seluruh fasiliti dan peralatan di dalamnya perlu dikongsi sesama pengunjung. Segelintir individu langsung tidak peduli untuk mengembalikan peralatan yang digunakan ke tempat asal.

Tindakan sebegitu akan menyusahkan individu lain yang ingin menggunakan peralatan tersebut. Sekiranya anda menggunakan mesin senaman (seperti treadmill) pula, pastikan anda tidak bersikap mementingkan diri sehingga enggan memberi peluang kepada pengunjung lain untuk menggunakannya.

Jangan lupa juga untuk mengelap peluh anda sekiranya ia terkena pada peralatan yang anda gunakan.

3) Berlagak pandai

7-tabiat gim Foto: t-nation

Ketika berada di gim, ramai yang ingin menayangkan kehebatan dan kekuatan fizikal masing-masing. Jangan cuba berlagak bijak dengan mencanangkan bahawa anda tahu serba-serbi tentang latihan kecergasan sehingga asyik memperbetulkan teknik latihan orang lain.

Lagak anda itu akan mengganggu konsentrasi pengunjung lain yang sedang fokus terhadap latihan mereka. Elakkan juga mempamerkan skil senaman yang pelik ataupun teknik ciptaan tersendiri bagi meraih perhatian orang lain. Kebiasaannya kelompok yang gemar menunjuk-nunjuk ini tidaklah sehebat mana, malah sebenarnya hanya memalukan diri.

4) Melakukan latihan tidak sesuai

2-tabiat gim Foto: nypost

Sebelum menyertai sesebuah gim, fahami dahulu konsep yang ditawarkan kerana tidak semua gim menyediakan semua jenis senaman. Akibatnya, ramai yang cuba melakukan latihan kecergasan tidak bersesuaian dengan kemudahan yang disediakan di gim tersebut.

Misalnya, latihan angkat berat (powerlifting) mesti dilakukan di atas permukaan lantai dan jenis beban yang khusus. Senaman jalanan (street workout) juga memerlukan bar dan cage bersesuaian mengikut rutin-rutin tertentu.

Sekiranya anda melakukan senaman jenis ini di gim, anda berisiko terdedah terhadap kecederaan memandangkan kebanyakan gim hanya menyediakan peralatan untuk latihan penurunan berat badan dan hipertrofi.

5) Malu/takut meminta bantuan jurulatih kecergasan

Foto: istacertified

Ramai yang beranggapan bahawa jurulatih kecergasan (personal trainer) di gim membantu klien mereka sahaja. Tanggapan itu kemudiannya mendorong anda untuk mencegah diri daripada meminta bantuan walaupun anda benar-benar memerlukan bimbingan mereka.

Jangan segan atau takut untuk mendapatkan pertolongan mereka ketika bersenam, malah anda juga boleh menjadikan mereka sebagai rujukan untuk maklumat-maklumat berkenaan latihan dan pemakanan.

Gim merupakan pusat tumpuan yang kaya dengan energi positif, jadikan mereka sahabat anda. Selain mendapat kawan baharu, motivasi diri untuk ke gim juga akan meningkat.

Comments

comments

Bergelar pakar kecergasan sejak tahun 2010. Merupakan graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Aktif dalam sukan tinju, renang dan bootcamp, lelaki berusia 24 tahun ini juga giat menjadi penceramah berkisar topik gaya hidup sihat dan pelan pemakanan. Turut diiktiraf dalam latihan kick boxing dan latihan pemulihan daripada kecederaan sukan serta penyakit kronik.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *