Kenal pasti matlamat kecergasan

0
66

APABILA rejim senaman dimulakan, ramai yang menaruh harapan untuk mendapatkan bentuk badan menarik umpama model atau atlet antarabangsa. Bagaimanapun ramai yang tidak tahu adakah persediaan dan keupayaan mereka mampu untuk mencapai matlamat yang dikejar?

Antara langkah awal yang perlu ditekankan sebelum anda aktif bersenam adalah menetapkan matlamat kecergasan. Realistik dan mampu dicapai merupakan sebahagian daripada matlamat yang positif. Terdapat beberapa faktor perlu diambil kira dan dianalisis bagi menyesuaikannya dengan matlamat kecergasan anda.

Bersenam tanpa matlamat kecergasan bagaikan mengembara tanpa hala tuju. Ia akan membuatkan anda hilang minat terhadap program-program latihan peribadi yang dijalankan dan mendorong kepada rejim senaman yang tidak konsisten.

Menetapkan matlamat sebelum memulakan program senaman sangat penting terhadap pembinaan motivasi dan konsistensi. Sebaik-baiknya mulakan dengan matlamat yang mudah untuk dicapai. Selepas keyakinan dan keupayaan anda meningkat, tingkatkan matlamat agar rejim kecergasan menjadi lebih menarik dan mencabar.

Bagi menetapkan matlamat kecergasan anda, mulakan dengan memahami tiga jenis matlamat yang perlu anda ketahui sebelum mencipta sebarang program latihan peribadi.

1) Matlamat jangka masa pendek: Ditetapkan dalam tempoh dua hingga lapan minggu. Jangka masa ini mestilah realistik dan difokuskan terhadap memotivasikan diri supaya anda lebih aktif serta bersemangat untuk mencapai matlamat jangka masa panjang.

Misalnya, bersenam secara konsisten minimum tiga kali seminggu, berjaya mengubah cara pemakanan, mengubah gaya hidup yang lebih sihat dan berupaya menambah keupayaan stamina merupakan antara pencapaian matlamat jangka masa pendek.

2) Matlamat jangka masa panjang: Ditetapkan dalam tempoh 12 hingga 24 minggu. Matlamat jangka masa panjang adalah tujuan dan matlamat utama untuk anda bersenam. Ia penting dalam memastikan program dan kerja keras latihan anda berada di landasan yang tepat.

Pastikan matlamatnya realistik dengan keupayaan dan tempoh masa yang ditetapkan. Kebiasaannya, matlamat jangka masa ini meliputi pencapaian bagi mendapatkan bentuk badan menarik, mengurangkan saiz seluar dan baju serta mendapatkan tubuh berotot (six pack).

3) Matlamat jangka masa spesifik: Direka khas mengikut jangka masa sesuatu acara atau pertandingan yang akan disertai. Matlamat ini memerlukan kepakaran profesional bagi membolehkan program latihan efektif dan spesifik terhadap matlamat acara anda dapat dicipta.

Mereka yang memilih matlamat ini termasuklah bakal pengantin yang mahu kelihatan menarik dalam busana perkahwinan, sebagai persediaan bagi menyertai pertandingan dan pemulihan daripada kecederaan ringan.

Foto kredit: funny-pictures

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini