Empat alternatif cergas tanpa perlu ke gim

0
22

RAMAI berpendapat bagi mendapatkan bentuk badan yang ideal dan sentiasa sihat, anda mesti workout di gimnasium (gim). Secara amnya, ia adalah satu tanggapan yang tidak benar. Pada dasarnya, gim merupakan sebuah fasiliti dengan kelengkapan senaman yang membantu individu mendapatkan bentuk badan spesifik, misalnya seperti ahli bina badan atau model bertubuh kekar.

Gim juga merupakan kemudahan untuk mereka yang berdepan kekangan masa ekoran kesibukan komitmen kerja tetapi masih mahu mencapai matlamat kecergasan. Ia juga sesuai bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan kerana terdapat yuran bulanan dan khidmat jurulatih peribadi yang perlu dibiayai.

Adakah anda tergolong dalam kelompok yang kurang atau tidak mampu untuk membayar yuran gim dan kurang arif tentang cara bersenam dengan betul? Sebenarnya terdapat pelbagai riadah outdoor yang lebih menyeronokkan berbanding gim. Malah, aktiviti itu boleh dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan tanpa memerlukan anda mengeluarkan sesen pun wang anda.

Berikut disenaraikan antara empat alternatif senaman bagi mengekalkan taraf kesihatan anda dan pendorong kepada bentuk tubuh ideal yang boleh dilakukan secara outdoor. Keempat-empat aktiviti di bawah ideal dilakukan sebanyak tiga kali seminggu ataupun boleh dijadikan satu sesi latihan kardiovaskular anda.

Kesemua senaman tersebut juga boleh dicampurkan dengan sasaran pelaksanaan sekurang-kurangnya 10 kali dalam tempoh sebulan. Kesannya, anda akan bertambah cergas dan bermotivasi untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat. Selain menjana mood positif, empat senaman itu juga menumpukan kepada tahap kecergasan jantung dan sistem kardiovaskular. Justeru, sekiranya sasaran anda adalah bagi mendapatkan tubuh tegap dengan six pack, latihan bebanan mengikut program latihan berkaitan masih perlu dilaksanakan.

1) Berjalan kaki
Senaman outdoor paling mudah dan boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Berjalan kaki secara konsisten selama 30 minit sehari mampu memperbaiki kesihatan dan mengawal berat badan. Bagaimanapun, berjalan bukanlah merujuk kepada cara berjalan secara bersahaja atau berlenggang.

2-adrenalin outdoor

Anda perlu mempelbagaikan tahap kesukaran berjalan dengan cara berjalan secara pantas, mendaki bukit, membawa beban atau menaiki tangga. Aktiviti ini dapat meningkatkan kecergasan sistem kardiovaskular (jantung), mengurangkan risiko penyakit jantung, darah tinggi, strok, sakit sendi, kencing manis, osteoporosis dan tahap kolestrol dalam darah. Ia juga membantu mengurangkan lemak dalam badan terutamanya di bahagian betis, paha, pinggul dan perut.

2) Berlari / Joging
Berlari adalah pilihan paling popular dan digemari ramai orang sebagai permulaan rutin senaman. Bagaimanapun kebelakangan ini mereka yang melibatkan diri dengan latihan bebanan takut untuk berlari kerana menganggap senaman ini akan mengecutkan otot. Berlari berpandukan kadar dan tempoh yang betul tidak akan memberi kesan negatif kepada otot.

3-adrenalin outdoor

Apa jua senaman yang dilakukan secara berlebihan sebenarnya berpotensi besar mengecutkan otot serta memberi kesan negatif kepada fizikal dan mental. Antara faedah aktiviti ini adalah ia efektif bagi menurunkan berat badan, mengurangkan risiko penyakit kronik, menguatkan otot dan sendi serta mencegah kanser.

Malah beberapa kajian juga membuktikan berlari dapat mengekalkan awet muda dan memanjangkan jangka hayat seseorang. Anda boleh melakukan larian dalam bentuk larian pecut, latihan berkala (tempo), maraton mini, maraton pendek / separuh ataupun berlari sambil mendaki bukit.

3) Berenang
Berenang merupakan aktiviti yang melibatkan pergerakan seluruh tubuh. Tahukah anda bahawa ia juga aktiviti kegemaran para atlet yang dilakukan pada hari rehat mereka. Aktiviti fizikal ini tidak memberi impak tekanan kepada tubuh tetapi berenang selama 30 minit ataupun sejauh 500 sehingga 800 meter mampu membakar banyak kalori.

Processed with VSCOcam with se3 preset

Otot di seluruh badan juga diperkuatkan, malah ia membantu pembinaan otot di bahagian atas badan. Berenang turut membantu mengurangkan tekanan, di samping meningkatkan mood positif dan menjadi terapi efektif bagi merawat kemurungan. Jika anda tidak tahu berenang, anda masih boleh melakukan aktiviti seperti berjalan dan berlari di dalam kolam renang untuk mendapatkan faedah yang hampir sama dengan berenang.

Berenang boleh menambah kualiti tidur, mengurangkan risiko penyakit kronik dan menguatkan sendi dan ligamen tubuh. Ia juga pilihan utama untuk merawat penyakit yang diakibatkan kecederaan bersukan seperti slipped disc dan kecederaan sendi.

4) Berbasikal
Menunggang basikal merupakan aktiviti yang sesuai dilakukan pada waktu petang selepas anda pulang daripada kerja. Riadah ini mudah dan ringkas tetapi berupaya memberikan pelbagai manfaat. Faedah utamanya dapat dilihat terhadap pembinaan kekuatan, fleksibiliti dan kesihatan sendi serta otot kaki.

4-adrenalin outdoor

Berbasikal secara pecut, mendaki bukit dan secara jarak jauh boleh dilakukan sebagai satu program latihan yang berkesan dalam menurunkan berat badan, merawat penyakit sendi lutut, menguatkan otot pinggang, meningkatkan stamina dan mengurangkan risiko penyakit kronik. Anda juga boleh memilih berbasikal secara off road seperti menunggang basikal bukit (mountain bike).

Dengan cara ini, anda berpeluang untuk menyertai komuniti Mountain Bikes (MTB) bagi mengikuti aktiviti berbasikal di trek-trek dalam hutan atau bukit yang mencabar daya tahan fizikal serta kecergasan anda. Berbasikal secara konvoi juga merupakan trend masa kini kerana ianya lebih menyeronokkan dan mampu mengurangkan rasa penat walaupun anda mengayuh sejauh lebih 30 kilometer.

Foto kredit: guthriegreen/wikimedia/danielhalis photography/simplydolomiti

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini