Benarkah jus detoks kuruskan badan? Anda silap!

0
32

RAMAI pernah mendengar tentang detoks! Penggunaannya sangat popular dalam kalangan pengusaha produk kesihatan yang menjaja jaminan pelangsingan dan kesihatan badan. Namun adakah anda benar-benar memahami pengertian sebenar detoks? Atau anda sekadar membuta tuli mempercayai efek detoks kerana terdesak untuk kurus?

detoks2DIET detoks dikatakan mampu menyingkirkan toksin berlebihan dalam badan yang menjadi punca kepada masalah obesiti. FOTO/GRACE BELGRAVIA

Istilah detoks merujuk kepada penghentian daripada mengambil makanan tidak sihat atau ubat-ubatan untuk tempoh tertentu bagi menurunkan kandungan toksin (bahan buangan/racun) di dalam badan.

Definisi tersebut dilihat bertentangan dengan trend detoks masa kini. Zaman sekarang, ramai mengamalkan detoks dengan cara mengambil suplemen atau minuman jus berherba bagi membuang toksin di dalam badan yang dipercayai menjadi punca obesiti.

detoks3JUS detoks menjadi alternatif popular berikutan jaminan faedahnya yang dikatakan mampu menurunkan berat badan dan menyihatkan tubuh. FOTO/TASTEFORLIFE

Tahukah anda bahawa amalan dan keberkesanan detoks menerusi minuman atau herba hanyalah satu MITOS dan TIDAK DISOKONG mana-mana penyelidik dan pakar nutrien. Malah ia disifatkan sebagai antara kaedah diet yang lemah dan tidak berdasarkan fakta perubatan serta kesihatan.

Kepada para pengamal detoks, fikirkan benarkah kandungan toksin berlebihan di dalam badan adalah punca badan anda GEMUK? Jika ya, ia bermakna bahawa organ dan sistem perkumuhan anda mempunyai masalah serius sehinggakan ia gagal membuang toksin berlebihan dari badan anda.

detoks6BERPELUH antara perkumuhan yang dapat menyingkirkan toksin dari badan secara semula jadi. FOTO/HUFFINGTONPOST

Terdapat pelbagai jenis toksin dapat disingkirkan secara semula jadi menerusi peroses perkumuhan seperti pernafasan, perpeluhan, membuang air kecil dan air besar.

Bagaimanapun tiada bukti spesifik mengelaskan jenis toksin dan proses tertentu yang dikatakan dapat membantu menyingkirkan toksin dengan cara meminum jus detoks.

Buat masa ini, pengamal jus detoks percaya bahawa kandungan nutrisi dalam bahan-bahan pembuatan jus seperti lemon, timun dan pudina dapat membantu melancarkan proses penyingkiran toksin apabila jus tersebut diminum.

Secara logiknya pudina, timun, limau dan serai juga ramuan yang digunakan bagi menyediakan laksa. Maka mengikut teori pengamal jus detoks, dapat kita simpulkan bahawa laksa juga tergolong sebagai makanan detoks? Malah ia juga boleh dikategorikan LEBIH BERKHASIAT kerana mengandungi protein (ikan) dan karbohidrat (beras).

detoks5KANDUNGAN jus detoks dapat ditemui dalam pelbagai makanan lain sekali gus menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya terhadap penyingkiran toksin dalam badan. FOTO/THE FOODIE COLLECTIVE

Suka untuk saya mengingatkan bahawa CARA TERBAIK bagi melancarkan sistem perkumuhan tubuh anda adalah dengan amalan gaya hidup sihat menerusi SENAMAN dan pengambilan MAKANAN SIHAT.

Tidak salah untuk mencuba alternatif lain yang menyumbang ke arah peningkatan kesihatan tubuh, namun pastikan anda lakukan sedikit kajian dan bacaan terlebih dahulu atau bertanya kepada pakar berkaitan sebelum meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap kesan produk-produk sedemikian.

Berhati-hatilah dalam berbelanja terutama produk melibatkan kesan kepada tahap kesihatan. Persiapkan diri dengan maklumat bermanfaat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik pemasaran kreatif produk kesihatan yang bijak memancing pembeli sasaran.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini