8 solusi kepada masalah normal pesta buku Big Bad Wolf

0
78

2-bbw

JUALAN buku terbesar di dunia, Big Bad Wolf (BBW) kembali untuk edisi kelimanya bermula 5 Disember lalu sehingga 16 Disember 2014. Acara yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), The Mines, Sri Kembangan, Selangor itu menawarkan lebih 3.5 juta buku daripada pelbagai genre seperti buku kanak-kanak, seni, memasak, biografi, novel grafik, sejarah, kenderaan, berkebun, animasi Jepun dan cereka pada potongan sehingga 95 peratus.

Sepanjang 278 jam operasinya kali ini, pengunjung berpeluang memilih rangkaian buku berbahasa Melayu yang lebih banyak berbanding edisi terdahulu. Tarikan utama tahun ini adalah antologi cerpen berjudul Malam, terbitan eksklusif Buku Fixi sempena BBW dan hanya 3,000 naskhah akan dijual selepas ia dilancarkan pada 6 Disember lalu.

Penganjur BBW, BookXcess turut menyediakan sudut Curious Corner (Serba-Serbi) dengan pelbagai barangan baharu termasuk poster berbingkai, kanvas dan plak, paparan tanda bersadur timah, model tuangan terap, perabot ukiran kayu dan pelbagai barangan selain daripada buku. Rangkaian cenderahati BBW rasmi baharu turut disediakan termasuk kemeja-T, lencana butang, magnet peti sejuk dan kotak koleksi.

Selain itu, BookXcess turut berganding bahu dengan dua rakan niaga, Astro Kasih dan Magicbird Publications, dalam kempen Red Readerhood yang menggalakkan pengunjung BBW membeli buku untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. Kempen Red Readerhood berhasrat untuk mengumpulkan sehingga 30,000 buku tahun ini.

Sempena kepulangan pesta buku paling ‘digilai’ rakyat Malaysia ini, Pepatung berkesempatan mengirim lapan permasalahan normal yang sering terjadi di BBW kepada pihak penganjur BBW. Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BookXcess, Marguerita Gomez berbesar hati untuk berkongsi secara eksklusif, lapan penyelesaian dan tip-tip berguna untuk para pengunjung BBW.

1) Muatan penuh. Ramai pelanggan datang dalam keadaan tidak bersedia (sehelai sepinggang) sehingga terpaksa memegang jumlah buku yang banyak di tangan. Ada pula yang datang membawa bagasi besar tetapi akhirnya isi bagasinya tidak sampai separuh.

Solusi: Pelanggan perlu datang dalam keadaan bersedia bersama beg bersesuaian (bagasi pakaian, troli, bakul) bagi melancarkan pergerakan mereka. Kami turut menyediakan kotak-kotak kosong untuk dipilih dan diguna pelanggan. Ruangan simpanan dengan keluasan memuaskan turut diasingkan bagi membolehkan pelanggan mengosongkan kotak, beg dan troli mereka dengan buku-buku yang telah dipilih sebelum menyambung membeli-belah. Kami telah mencipta sistem mudah agar pelanggan dapat menyimpan dan mengambil semula buku-buku mereka.

Kami juga tidak berasa bahawa bagasi dan troli mengganggu kelancaran pergerakan pengunjung kerana setiap orang yang datang ke pesta ini memahami antara satu sama lain dan tidak keberatan memberi laluan kepada orang lain. Tambahan pula, barisan kru kami juga sentiasa mengawasi keadaan bagi memastikan kelancaran trafik agar setiap pengunjung dapat berbelanja dalam suasana selesa.Bagi meningkatkan tahap keseronokan pelanggan, kami juga cadangkan kepada pelanggan untuk berpakaian selesa terutama kasut. Langkah ini dapat mengekalkan tahap keselesaan anda sepanjang berjalan di dalam dewan besar tersebut sambil menjinjit buku-buku berat atau menarik troli dan bagasi sarat dengan buku-buku pilihan anda.

2) Anak/orang hilang: Setiap tahun pasti ada kejadian anak kecil atau suami isteri / rakan-rakan terpisah sehingga perlu meminta pengumuman dilakukan di kaunter DJ.

Solusi: Kami dengan bangganya ingin menyatakan bahawa masalah ini kian berkurang pada edisi kali ini. Ibu bapa lebih berhati-hati mengawasi anak-anak mereka. Kami juga menyediakan kawasan permainan (playland) di aras mezanin atas (upper mezzanine) bagi membolehkan ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka untuk beberapa jam di bawah penyeliaan sepasukan pengasuh kanak-kanak agar dapat memborong buku dalam keadaan berlapang dada.

Playland ini dibuka selama 24 jam sepanjang pesta ini berlangsung. Bagaimanapun, kami tetap mengingatkan para ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak masing-masing dengan mengawasi pergerakan mereka sepanjang masa.

3) Haus/lapar/letih: Berjam-jam memilih buku sehingga orang ramai letih menyebabkan mereka lapar dan kehausan. Akses kafe di tingkat atas (tahun-tahun terdahulu) selalunya sesak dengan pengunjung sehingga menyukarkan pengunjung yang telah keletihan. Ada yang terpaksa duduk di lantai selepas keletihan bagi mengira buku-buku yang dibeli.

Solusi: Seluruh aras mezanin kini dikhususkan untuk ruangan makan dan minum termasuk beberapa kemudahan rehat khusus buat pelanggan yang datang ke pesta ini. Malah kami turut melengkapkan ruang di aras mezanin bersama meja dan kerusi agar para pengunjung dapat duduk dengan selesa sambil menikmati hidangan masing-masing.

Pelbagai seleksi makanan turut ditawarkan seperti KFC, Ayamas, Sushi King, Barista Coffee, Mavelous Egg dan banyak lagi pilihan makanan tempatan dan Barat. Kami juga menawarkan banyak sajian sihat termasuk jus perahan buah-buahan segar, frozen yogurt dan potongan buah-buahan segar bagi mengembalikan tenaga anda sepanjang berbelanja.

4) Masalah anak kecil: Ibu bapa yang membawa anak-anak kecil terutama yang masih bayi selalu menyebabkan ketidakselesaan kepada anak-anak mereka disebabkan orang yang terlalu ramai dan waktu terlalu lama yang diambil ibu bapa bagi membelek buku.

Solusi:  Walaupun kami amat menggalakkan ibu bapa membawa bersama anak-anak mereka ke pesta ini kerana kami percaya bahawa kanak-kanak juga wajar diberi kebebasan untuk memilih buku-buku mereka, kami tetap merasakan bahawa ibu bapa tidak wajar membawa bayi yang masih kecil ke pesta ini.

Suasana sesak di pesta ini terutama pada waktu malam mungkin tidak sesuai untuk anak-anak yang masih kecil. Bagi ibu bapa yang terpaksa membawa bersama anak-anak mereka, playland di aras mezanin adalah alternatif terbaik, namun kawasan tersebut secara amnya tidak sesuai untuk bayi.

1-bbw

5) Buku tunggang-langgang: Masalah ini selalunya berpunca daripada pengunjung sendiri yang meletakkan buku-buku berbeza genre di seksyen lain sekiranya mereka memutuskan untuk tidak membeli buku tersebut. Akibatnya, longgokan buku ‘reject’ ini telah menenggelamkan buku-buku lain yang dicari-cari pengunjung lain.

Solusi: Kami telah menyediakan ruangan khas bagi para pelanggan memilih semula buku-buku yang telah dipilih sebelum menetapkan yang mana satu akan dibeli dan mana satu perlu dikembalikan. Sekiranya terdapat buku yang tidak ingin dibeli, mereka boleh meninggalkannya di ruangan ini bagi memudahkan kru kami untuk datang memungut semula buku-buku tersebut. Kami turut meletakkan peringatan ringkas di sekitar dewan bagi menggalakkan para pelanggan mengembalikan buku-buku yang tidak mahu dibeli ke rak-raknya semula.

Selain itu, tahap efisien kru pembersihan kami juga ditingkatkan agar longgokan buku-buku ‘reject‘ tersebut dapat dipungut dan disusun semula ke bahagian-bahagiannya dengan pantas. Tahun ini, BBW dioperasikan oleh 700 kru sepanjang jualan 278 jam tanpa henti.

6) Buku berulang: Bagi pengunjung setia saban tahun, ramai yang menyifatkan bahawa buku-buku di BBW kebanyakannya dikitar semula daripada pesta tahun-tahun dulu.

Solusi: Tahun ini, 60 peratus buku-buku di BBW merupakan buku baharu dan tidak pernah dijual di edisi terdahulu. Bagaimanapun, kami masih mengekalkan sebahagian buku lama untuk para pelanggan yang pertama kali hadir ke pesta ini agar pilihan itu dapat divariasikan. Sepanjang pesta 12 hari ini, buku-buku ditambah dan diganti selang beberapa jam bagi memastikan setiap judul diperbaharui dan setiap rak sentiasa ‘dibanjiri’ buku.

7) Barisan kaunter pembayaran panjang: Ada sesetengah pelanggan hanya meluangkan sedikit masa untuk memilih buku-buku yang ingin dibeli, namun terpaksa menunggu lama ketika beratur dalam barisan panjang di kaunter pembayaran.

Solusi: Tahun ini, sebanyak 40 kaunter pembayaran dibuka sepanjang tempoh 24 jam setiap hari bagi mengatasi masalah barisan panjang. Di setiap kaunter pembayaran, seramai tiga kru ditempatkan iaitu juruwang, pembungkus dan kru yang membantu mengasing, mengira dan mempercepatkan urusan pembayaran anda dengan segera. Kami turut menempatkan pembantu di setiap barisan kaunter pembayaran bagi menyegerakan pergerakan anda ke arah kaunter bersesuaian.

8) Ruangan parkir: Masalah utama kebanyakan pengunjung ketika datang ke BBW adalah mendapatkan parkir. Kadang-kadang pengunjung terpaksa berpusing-pusing selama hampir satu jam untuk mendapatkan ruang parkir. Ada pula yang terpaksa menanggung risiko dengan meletakkan kenderaan di tepi jalan.

Solusi:  Terdapat kira-kira 5,000 ruangan parkir disediakan pada tahun ini. Kesemua ruangan ini terdapat di sekitar dan di bawah pusat konvensyen serta Mines Shopping Mall. Selain itu, BBW turut berkolaborasi bersama MyTeksi bagi membawa pengunjung datang dan menghantar pulang dengan menggunakan khidmat MyTeksi. Pihak MyTeksi juga menyediakan penebusan kembali tunai untuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan teksi mereka untuk bergerak ke pesta buku ini.

Untuk maklumat lanjut dan antara senarai judul yang disediakan di BBW kali ini, kunjungi laman web rasmi BigBadWolf

 

 

KONGSI
Artikel sebelumnyaHadiah Hari Natal J.K Rowling
Artikel seterusnyaBebas sempadan
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini