7 Permainan Epik Zaman Kanak-Kanak

0
278

090320131022

MUSIM cuti sekolah, meriahlah budak-budak bermain tanpa henti sehingga tidur pun tidak dipedulikan. Namun kanak-kanak masa kini mempunyai hiburan berbeza bagi mengisi waktu cuti mereka. Permainan interaktif yang dimuat turun ke dalam telefon pintar dan gajet-gajet moden membuatkan mereka leka dan tenggelam dalam dunia tanpa memerlukan komunikasi sesama rakan lain. Sebagai ibu bapa atau individu lebih dewasa yang melewati zaman permainan luar rumah yang menyeronokkan, apa kata musim cuti kali ini anda perkenalkan dan mengajar anak-anak atau anak saudara anda bergembira bersama permainan tradisional ini.

1) Congkak

Permainan yang menguji ketangkasan ilmu kira-kira. Seperti namanya, congkak yang berasal daripada perkataan congak merupakan sejenis permainan yang menggunakan sepapan kayu panjang dengan 14 tebukan kecil membentuk dua bahagian digelar ‘kampung’. Di setiap penghujungnya, terletak lubang besar yang dipanggil ‘rumah’. Setiap pemain perlu mengisi sebanyak lima hingga tujuh guli atau biji getah ke dalam setiap kampung dan memulakan permainan secara serentak. Guli atau biji getah perlu dimasukkan ke dalam setiap lubang menuju ke rumah masing-masing. Pemain yang gulinya terhenti di lubang kosong dikira mati dan perlu menunggu giliran sehingga pemain kedua mati di lubang kosong.

congkak

Sekiranya pemain mati di lubang kosong di bahagian kampungnya, guli-guli di lubang berhadapan berhak diambil pemain tersebut untuk disimpan ke dalam rumahnya. Gerakan ini dipanggil ‘tikam’ atau ‘tembak’. Selepas kedua-dua pemain kehabisan guli untuk bergerak, pusingan pertama dikira tamat dan kedua-dua pemain perlu mengisi semula lubang-lubang kecil menggunakan guli yang terkumpul di rumah masing-masing. Pemain yang kekurangan guli terpaksa membiarkan beberapa lubangnya kosong manakala pemain dengan lebihan guli akan menyimpannya di dalam rumah. Lubang kosong tidak boleh diisi kedua-dua pemain dan sekiranya salah seorang tersasar meletakkan guli di mana-mana lubang tersebut, guli itu boleh dituntut pemain lawannya.

Pemenang permainan ditentukan berdasarkan jumlah guli terbanyak atau salah seorang pemain tidak mempunyai guli untuk mengisi lubang-lubang di bahagiannya.

2) Baling Selipar

Bunyinya agak kasar tetapi sebenarnya ia amat menyeronokkan. Permainan ini memerlukan dua pasukan dengan setiap daripadanya perlu menyumbangkan sebelah selipar masing-masing bagi membina ‘menara selipar’. Ahli-ahli kumpulan pertama mesti mencuba merobohkan menara selipar itu dan sekiranya gagal ia akan dilaksanakan pasukan kedua. Sekiranya menara selipar berjaya dirobohkan, pasukan tersebut perlu berlari bagi mengelakkan dibaling selipar oleh ahli-ahli pasukan lawan. Salah seorang ahli pasukan yang merobohkan menara selipar mesti membina semula menara selipar sebelum semua ahli terkena balingan selipar. Jika gagal, pasukan lawan akan mengambil giliran untuk merobohkan menara selipar baharu.

TatSing-01

Permainan ini akan lebih seronok jika menggunakan selipar Jepun sebab ia tebal dan berat. Cubalah!

3) Batu Seremban

Kegemaran kanak-kanak perempuan. Dulu, budak-budak perempuan di sekolah kalau mahu tunjuk siapa paling hebat, ajaklah bertanding batu seremban. Itu belum dikira kain batu seremban siapa paling cantik, jahitan paling kemas, bentuk (segi empat atau segi tiga) siapa lebih comel dan teknik balingan siapa paling tangkas. Inti batu seremban selalunya adalah kacang hijau atau beras, tetapi orang-orang tua marah kalau guna beras, katanya tidak elok dilambung-lambung bimbang harga beras naik (walhal tak mahu beras di dapur habis).

Picture-200

Cara permainannya juga boleh tahan mencabar. Setiap pemain (biasanya dimainkan dua hingga lima orang) akan dibekalkan dengan lima uncang batu seremban. Terdapat lapan peringkat (level) yang perlu dilepasi setiap pemain sebelum boleh mendapatkan mata menerusi pusingan timbang. Pemain yang gagal melepasi sesuatu peringkat akan kekal di peringkat tersebut sehingga dia berjaya.

4) Teng-Teng

Budak-budak dulu main teng-teng sebab suka main tanah. Sekarang di mana mudah cari tanah? Balik kampung barulah jumpa tanah. Sebenarnya teng-teng ini menguji ketahanan kaki melompat dengan sebelah kaki. Terdapat banyak bentuk teng-teng dan antara yang popular adalah kapal terbang dan bangunan lapan tingkat. Mudah sahaja mencipta permainan ini, anda hanya perlu melukis bentuk teng-teng pilihan menggunakan ranting kayu dan pilih seketul batu kecil untuk diri sendiri.

31ECDG3140

Ia boleh dimainkan sehingga empat orang dan giliran ditentukan mengikut lat talilat atau osom. Setiap pemain mesti berdiri di belakang satu garisan setiap kali melemparkan batu ke dalam petak teng-teng. Pemain perlu melompat ke dalam semua kotak menggunakan sebelah kaki kecuali kotak berisi batunya. Dua kotak di tengah kebiasaannya membenarkan pemain meletakkan kedua-dua belah kaki sebelum menyambung perjalanan pulang untuk mengutip semula batunya di dalam kotak tertentu dan kembali ke garisan permulaan. Pemain yang berjaya menamatkan semua kotak akan diberi peluang membaling batu dengan cara membelakangkan teng-teng (tanpa melihat) dan batu yang jatuh di dalam salah satu kotak akan dijadikan rumah. Rumah tersebut tidak boleh dipijak pemain lain.

5) Gasing

Permainan tradisional yang akrab dengan kanak-kanak lelaki. Populariti permainan ini dalam kalangan budak-budak semakin terhapus dan ia hanya dimainkan orang-orang tua khususnya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu. Tetapi gasing biasa yang diperbuat daripada kayu dan paku bersama talinya masih boleh diperoleh di sesetengah kedai runcit atau pasar raya. Gasing seronok dimainkan beramai-ramai. Setiap orang mempunyai cara permainan tersendiri bagi menilai pemenang.

DSC06650

Ada yang memutuskan pemenang dengan melihat gasing paling lama berputar. Bagaimanapun, cara paling popular dan agak ‘kejam’ sebenarnya adalah dengan ‘memangkah’ gasing orang lain. Dalam gelanggang gasing, setiap pemain akan melepaskan gasing masing-masing dan ada masanya, gasing-gasing tersebut akan bergeser sehingga salah satu daripadanya terkeluar daripada gelanggang. Ada juga yang melepaskan gasing ke arah gasing yang sedang berputar dengan tujuan untuk menyingkir keluar gasing tersebut. Jika nasib anda malang, mungkin gasing anda akan terbelah atau pecah.

 6) Konda-Kondi

scan0001

Sejenis permainan yang sebenarnya tidak diketahui ramai orang. Cara permainannya juga berbeza-beza mengikut asal-usul seseorang. Lazimnya, konda-kondi dimainkan oleh dua kumpulan. Peralatan yang diperlukan hanyalah dua batang kayu (satu panjang, satu pendek). Sebuah lubang kecil akan digali dan kemudiannya kayu yang lebih kecil akan diletakkan merentasi lubang tersebut. Kayu panjang pula digunakan bagi mencungkil kayu kecil itu ke udara. Selepas itu, pihak lawan akan membaling kayu kecil kembali ke lubang asal dengan tiga kali percubaan. Sekiranya berjaya, kumpulan pihak lawan akan mengambil giliran mencungkil kayu dan begitulah sebaliknya.

7) Sorok-Sorok

sorok2a

Masih dimainkan ramai kanak-kanak sehingga sekarang. Mungkin perbezaannya adalah cara ia dimainkan. Selain mencari tempat persembunyian paling hebat, skil ‘mengejutkan’ si tukang cari juga mesti dimiliki. Selepas si tukang cari mengira dan mula mencari budak-budak yang menyorok, orang yang bersembunyi boleh mematahkan usaha si tukang cari untuk menemui kesemua penyorok dengan cara ‘sep‘ si tukang cari sebelum dia sempat melihat dan menyebut nama anda. Jika si tukang cari menyebut nama anda terlebih dulu sebelum sempat di’sep‘, anda harus menjadi tukang cari tetapi jika anda berjaya, dia perlu terus menjadi tukang cari daripada awal permainan.

Foto kredit: qutebloved/reclaimmerdekapark/itsmefareha/funnymalaysia/beritafoto

/bb2008sitinadiah/malaysiangames/hasnulefendi

KONGSI
Artikel sebelumnyaMengenang Paul Walker
Artikel seterusnyaSaat Yang Sesuai Menggunakan Penggaris Bibir
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini