Gastronomi

Taraf antarabangsa stik Castell Gastrobar

By  | 

MASYARAKAT khususnya orang tempatan selalu hairan apabila mendapat tahu harga stik yang dijual di sesebuah restoran. Mengapa ia mencecah ratusan dan ribuan ringgit? Begitu istimewakah stik tersebut sehingga membuatkan ada golongan tidak mampu untuk membayar harga sepinggan stik yang benar-benar berkualiti?

Secara logiknya, sebelum daging lembu dijadikan stik yang anda nikmati, ia akan merentasi beberapa fasa yang menjadikannya daging berkualiti tinggi!

Australia umpamanya, tidak asing sebagai pembekal daging lembu terbaik di dunia. Baka-baka lembu dari ladang benua tersebut dipelihara dengan baik bagi mengekalkan kualiti akhir; sama ada susu atau dagingnya.

Maka apabila anda masuk ke restoran yang menyajikan stik yang menggunakan daging lembu Australia, anda patut tahu bahawa mereka hanya menyediakan yang terbaik untuk pelanggan.

castell-1RESTORAN CASTELL GASTROBAR BEROPERASI SEJAK TAHUN 1980. FOTO/CASTELL

Castell Gastrobar (Castell) di Petaling Jaya, Selangor antara restoran yang menghidangkan stik menggunakan hanya daging lembu dari Australia. Bekalan daging tersebut diperoleh dari salah sebuah ladang terbaik di Australia.

“Ladang rumput tersebut ditumbuhi bunga-bunga sesawi (canola) dan ia menambah keistimewaan rasa stik di Castell,” ujar chef merangkap pemilik Castell, John Lee ketika ditemui Pepatung di Castell.

Demikianlah penarafan stik di Castell. Pelanggan tidak hanya membayar untuk sajian yang dinikmati, malah kualiti dan proses-proses yang berhasil menjadikan ia satu hidangan bercita rasa tinggi.

Dengan rangkaian harga dari sederhana sehingga tinggi, antara stik popular dalam senarai menu Gastell ialah Op Rib Steak yang mempunyai ketebalan di antara 1 1/2 inci hingga 2 inci. Stik ini sesuai dikongsi bersama tiga atau empat individu. Setiap 100 gram (g) stik ini dijual pada harga kira-kira RM25 ataupun RM158 untuk 566g (20 auns).

DARI KIRI: CASTELL STILTON SPECIAL DAN OP RIB STEAK YANG MENJADI STIK POPULAR DI CASTELL. FOTO/CASTELL

Mahukan kelainan rasa? Cubalah Castell Stilton Special yang terdiri daripada daging batang pinang (tenderloin) 226g (8 auns) bersama kepingan daging lembu dan keju biru (stilton)! Ya keju biru yang begitu unik rasanya, sedikit kejanggalan pada awalnya tetapi bertambah baik selepas beberapa suapan.

Mula beroperasi pada 1980, Castell memiliki kepakaran tinggi dalam penyediaan stik di Malaysia. Sebagai antara restoran terawal tempatan yang menghidangkan menu-menu Eropah, ia dahulunya begitu terkenal dengan kesegaran bahan mentah yang digunakan terutama makanan laut.

Selepas melewati beberapa tempoh peralihan, kini ia kembali diterajui generasi asal Castell. John sebagai pemimpin baharu membawa semula asas kehebatan Castell iaitu kualiti dalam kesederhanaan!

“Tradisi Castell itu dikekalkan cuma sekarang saya banyak bermain dengan teknik apabila melibatkan masakan. Kita cuba pelbagaikan stail namun dalam masa yang sama memastikan keaslian rasa itu tidak lari,”kongsi John.

Tersendiri dan beridentiti! Dua gelaran layak diberi kepada Castell. Kerana apa? Telitilah buku menunya dan anda akan temui pelbagai menu ‘jarang jumpa’ yang tidak terdapat di mana-mana restoran yang menghidangkan makanan Barat di sekitar Lembah Klang.

Cili terpedas di dunia

Pembuka selera (starter) berupa Dragon Wings pasti membuatkan anda memesan air kosong bergelas-gelas. Keenakan kepak ayam ini terletak pada rempahnya yang menjadikan cili naga jolokia sebagai perisa dominan.

castell-5KEPAK AYAM DENGAN NAMA DRAGON WINGS INI MENGGUNAKAN CILI NAGA JOLOKIA. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Cili ketujuh terpedas di dunia itu pernah menduduki tangga pertama sebagai cili terpedas di dunia dari tahun 2007 hingga 2011 menerusi catatan Rekod Dunia Guinness. Gelaran lain bagi cili ini ialah cili hantu dan walaupun pedas, kelazatannya akan membuatkan anda tidak berhenti meratah kepak ayam ini.

Begitu juga denganBaked Portabello Mushrooms iaitu cendawan gril yang dibakar bersama kepingan daging dan keju yang menjadi antara pembuka selera popular.

castell-4BAKED PORTABELLO MUSHROOM ANTARA PEMBUKA SELERA PILIHAN RAMAI. FOTO/NIK AMRI NIK HASSAN

Selain stik, Castell turut menyediakan variasi menu kepada penggemar ayam. Castell’s Grilled Spring Chicken merupakan sajian signatur di Castell dan sering menjadi pilihan pelanggan. Kesederhanaan juadahnya menjadi tarikan yang digemari ramai. Ayamnya digril bersama rempah Castell serta didatangkan dengan jagung, sayuran dan kentang goreng.

“Tidak banyak restoran yang menghidangkan menu ini (spring chicken) dan kebiasaannya kita hanya diberi pilihan menu ayam bergoreng,” jelas John.

DARI KIRI: CASTELL’S GRILLED SPRING CHICKEN DAN PRAWN COCKTAIL TIDAK KETINGGALAN MENJADI JUADAH PELENGKAP SETIAP TETAMU CASTELL. FOTO/CASTELL

Spring chicken merujuk kepada ayam muda yang berusia sebulan hingga 10 bulan dan sering digunakan dalam masakan kerana dagingnya yang empuk.

Castell dipecahkan kepada dua aras. Tingkat bawah adalah restorannya yang mampu memuatkan 48 tetamu dalam satu-satu masa manakala tingkat dua pula dikhususkan untuk bar dengan kapasiti sehingga 50 orang.

castell-2RESTORAN INI TIDAK HANYA SESUAI UNTUK SANTAPAN SEKELUARGA MALAH UNTUK KUMPULAN SEDERHANA. FOTO/CASTELL

Restoran di Castell beroperasi setiap hari dan dibuka bermula pukul 12 tengahari hingga 11 malam. Pepatung ingin mengucapkan selamat menikmati stik bertaraf antarabangsa di Castell kepada anda semua!

Info Castell Gastrobar:
Lokasi: No. 19, Lorong Universiti C, 46350 Petaling Jaya, Selangor.
Waktu Operasi: 12 tengahari – 11 malam (Isnin – Ahad).
Telefon: 03-7931 0373
Laman web: www.castellpj.com
Facebook: Castell Gastrobar

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *