Sushi selera Malaysia ilham Mat’s Kitchen

0
56

BAGAIMANA kalau ayam goreng, serunding ayam dan sosej berkeju diasimilasi bersama sushi? Gabungan unik selera Malaysia dan Jepun itu memang wujud. Kalau anda teringin hendak menikmati sushi cita rasa Malaysia, mari berkenalan dengan Mat’s Kitchen.

Diusahakan pasangan suami isteri; Mohd. Norafiq Mohd. Datin, 29, dan Nurul Shafikah Mohd. Yunus, 29, Mat’s Kitchen mula menerima tempahan pelanggan sejak Oktober 2016.

Berpengalaman dalam bidang kulinari terutama penyediaan sajian Jepun kira-kira 10 tahun, menurut Norafiq, sushi yang disediakan menerima respons positif masyarakat, termasuk mereka yang sebelum ini tidak menggemari sushi.

“Kami memahami tekak orang tempatan. Jadi kami sediakan sushi seperti tuna spicy untuk mereka yang suka pedas, penggunaan cuka juga dikurangkan agar ia tidak terlalu masam.

“Terdapat set menu yang bahan-bahannya dimasak sepenuhnya, tanpa ada kandungan yang mentah (raw item), memandangkan kebanyakan orang kita kurang berselera dengan ikan mentah.

“Namun sushi salmon mentah yang kami sediakan hanya menggunakan salmon segar, bukan yang disejukbeku. Jadi ia tidak hanyir. Ibu bapa saya yang memang tidak makan sushi pun boleh menerima sushi yang kami sediakan,” kongsi Norafiq kepada Pepatung.

Pemerhatian Norafiq terhadap perniagaan sushi di Malaysia mendapati, terdapat segelintir peniaga yang mengaut keuntungan dengan mencampurkan beras bagi menyediakan nasi. Harga beras Jepun yang mahal mendorong peniaga untuk mengurangkan kos dengan mencampurkan beras Jepun bersama beras wangi.

Begitu juga dengan kepadatan inti yang mengecewakan. Seharusnya, sushi yang berkualiti mestilah kemas dan kaya dengan inti. Saiz sushi yang besar dengan nasi yang banyak juga bukanlah jaminan terhadap kepadatan isi di dalamnya.

Justeru, misi Mat’s Kitchen adalah bagi menawarkan sushi berkualiti kepada masyarakat tempatan serta memupuk kefahaman yang tepat tentang sushi.

Sushi yang dihasilkan Norafiq menggunakan 100 peratus beras Jepun dan bahan-bahan halal. Untuk maklumat semua, kebanyakan restoran asli Jepun mencampurkan sake atau mirin (wine Jepun) di dalam masakan. Begitupun, masyarakat tidak perlu bimbang kerana majoriti hotel dan restoran di Malaysia mengimplementasi penyediaan sajian mengikut garis panduan halal.

“Suka untuk saya menjelaskan kepada orang ramai bahawa sushi tidak digaul (marinate) bersama mirin. Sushi hanya digaul menggunakan cuka (sushi su) selepas nasi dimasak dalam keadaannya yang masih panas. Kemudian, ia dikacau secara sekata sehingga nasi sejuk.

“Mirin pula digunakan dalam penyediaan sajian panas Jepun (hot dish) berupa sup atau sos. Empat sajian panas Jepun terdiri daripada tempura, soba, chawanmushi dan teppanyaki. Mirin mempunyai ciri seperti sake, cuma ia kurang beralkohol dan lebih manis,” tambah Norafiq.

Bagi memberi kelainan dan pilihan kepada pelanggan, Mat’s Kitchen turut menawarkan dua set menu platter; Osaka Moriawase Platter dan Tokyo Moriawase Platter. Setiap set pula didatangkan dalam tiga saiz – kecil (40 ketul), sederhana (60 ketul) dan besar (80 ketul). Penawaran menu sushi secara platter itu juga difahamkan adalah yang pertama kali seumpamanya di pasaran Malaysia.

Daripada budak cuci pinggan

Penglibatan Norafiq dalam penyediaan hidangan Jepun bermula seawal usianya 18 tahun. Selepas menamatkan persekolahan di Kolej Vokasional ERT, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 2005, sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memohon kerja separuh masa di beberapa bakeri sekitar ibu kota.

Bagaimanapun tiada satu pun permohonan yang berjaya membuatkan dia mencuba nasib di restoran Sushi King cawangan Mid Valley, Kuala Lumpur. Dia diterima bekerja dan sejak itu, Sushi King menjadi sekolah kulinarinya bagi menimba ilmu dalam bidang makanan Jepun.

Menyambung pengajian dalam jurusan diploma seni kulinari di UiTM Dungun, Terengganu, Norafiq tetap meneruskan kerja sambilannya di restoran tersebut setiap kali cuti semester.

Bermula sebagai pencuci pinggan, dia kemudiannya memotong sayur, memasak nasi sehinggalah dilatih menyediakan sushi sebagai kru kaiten (merujuk kepada dulang bergerak di kebanyakan restoran sushi yang disusun dengan piring-piring berisi sushi pelbagai jenis).

Berbekalkan pengalaman di lapangan, Norafiq berjaya mencuri perhatian Hotel Traders Kuala Lumpur ketika menjalani latihan praktikal apabila dia ditawarkan bekerja di situ.

Tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ditolak bagi membina kerjaya dalam bidang kulinari perhotelan. Sepanjang tiga tahun di Traders (2009 hingga 2011), Norafiq dikhususkan bagi menyediakan makanan Jepun. Posisinya juga meningkat daripada seorang commis (peranan paling rendah di dapur) kepada demi chef.

Pelanggan juga boleh memesan untuk majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir | FOTO/Mat’s Kitchen

Mahukan angin baharu, langkah Norafiq dilencongkan ke Hotel Impiana KLCC. Di situ, dia ditugaskan sebagai chef de partie (penyelia) di Tonka Bean Cafe (coffee house). Khidmatnya di sana sejak 2012 tamat pada tahun 2014 demi mengintai peluang yang lebih baik dalam meningkatkan tahap kemahiran dan karier. Kini Norafiq berkhidmat di sebuah organisasi industri penyediaan makanan berprestij di Kuala Lumpur.

Untuk memesan sushi atau pasta Mat’s Kitchen, anda boleh mengikuti informasi di bawah. Pesanan juga perlu dilakukan sekurang-kurangnya sehari sebelum hari penghantaran.

Jadual penghantaran pesanan:
  • Isnin hingga Jumaat: Sebelum 8.30 pagi (kawasan sekitar KL Sentral dan KLCC) / Selepas 8 malam (kawasan sekitar Lembah Klang sahaja).
  • Sabtu dan Ahad: Sepanjang hari bermula 10 pagi (kawasan sekitar Lembah Klang sahaja).
Info Mat’s Kitchen:
  • Telefon/WhatsApp: 017 – 229 0227 / 017 – 278 9217
  • Instagram: @matskitchen

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini