Gastronomi

Ada apa dengan rendang?

By  | 

RENDANG yang sememangnya sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha difahamkan dicipta oleh masyarakat etnik Melayu Minangkabau. Ia kemudiannya merentasi fasa inovasi secara berperingkat, tetapi tidak menjejaskan keaslian rasanya dan tersebar ke seluruh Nusantara.

RENDANG MINANG MENJADI PERMULAAN TERHADAP EVOLUSI RENDANG DI NUSANTARA/FOTO/AZIE KITCHEN

Menurut sejarawan Universiti Andalas Indonesia, Profesor Dr. Gusti Asnan, rendang mula tersebar secara meluas ketika orang Minang mula merantau ke Melaka sekitar abad ke-16.

Disebabkan mereka berdagang dan berkelana ke destinasi yang jauh, rendang yang dimasak sehingga kering sering dijadikan bekalan sepanjang perjalanan kerana ia tahan lama dan tidak cepat basi.

Di Perak, rendang tok bukan lagi asing. Ia dikatakan berasal dari Kampung Pisang, Batu Gajah, Perak. Rendang tok mendapat namanya kerana ia dimasak oleh orang tua yang lebih mahir dalam menyediakan rendang tersebut.

FOTO/YOUTUBE MAGGI MALAYSIA

Rendang tok berbeza dengan rendang lain kerana teksturnya yang kering dan dagingnya dipotong seperti bongkah dadu yang besar tetapi empuk.

Menerusi kenyataan seorang pengusaha rendang tok, Mustapa Kamal Abdul Rahman yang dipetik daripada akhbar Kosmo!, bagi mengekalkan rasa tradisional rendang tok, ia perlu dimasak menggunakan kawah dan kayu api.

FOTO/MY LITTLE SUNSHINE

Terdapat beberapa lagi jenis rendang yang terkenal. Antaranya ialah rendang mamak dengan tekstur seperti kari, tidak terlampau basah atau kering dan rendang Minang yang menggunakan kunyit hidup bagi memberi warna kuning asli.

Rendang biasa pula merujuk kepada rendang pedas manakala rendang dendeng disediakan dengan mengetuk daging separa kemik dan dimasak menggunakan kicap.

Penggunaan bahan-bahan seperti rempah-ratus, santan, kerisik, daun kunyit yang dimayang halus, bawang merah dan bawang putih, minyak untuk memasak juga memainkan peranan penting dalam penyediaan rendang.

FOTO/YOUTUBE SELERA NUSANTARA

Rendang juga tidak terhad terhadap daging lembu sahaja. Kini terdapat variasi rendang seperti rendang kerang, rendang ayam, rendang hati dan rendang itik, malah telur rebus juga boleh dibuat rendang.

Sekitar empat tahun lalu, tukang masak dari Britain, Gordon Ramsay telah berkunjung ke Malaysia dan berjumpa pengusaha restoran Aunty Aini’s Garden Cafe, Puan Aini yang terletak di Kampung Chelet, Nilai, Negeri Sembilan dan sempat mempelajari cara-cara memasak rendang.

Menerusi video tersebut, Ramsay yang terkenal dengan sikap bengis di dapur kelihatan agak canggung apabila diajar Aini untuk memasukkan bahan-bahan masakan tanpa sukatan spesifik. Istilah ‘agak-agak’ yang menjadi kebiasaan Aini dalam menyediakan rendang popularnya memperlihatkan reaksi keliru Ramsay yang menggelikan hati penonton.

Sementara itu, Malaysia dan Indonesia juga pernah berbalah kerana rendang. Masing-masing mahu menuntut hak ke atas rendang untuk dijadikan sajian kebangsaan rasmi.

Konflik tuntutan makanan yang tidak berkesudahan seharusnya dihentikan. Malah, sajian tradisi seperti rendang boleh dijadikan titik pertemuan ras bangsa nusantara sendiri.

Ia boleh dijadikan medium penyatuan Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan juga selatan Thailand. Selepas beratus tahun lamanya usia rendang, rasa dan teksturnya masih kekal sehingga ke hari ini. Rendang masih menjadi juadah istimewa ketika menyambut lebaran.

Hari raya seperti tidak lengkap tanpa rendang. Sama sahaja bagi orang Barat ketika menyambut hari Natal, tidak lengkap rasanya jika tiada hidangan ayam belanda panggang.

Comments

comments

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *