Stail

Tudung organik Gaya by Adania 100% semula jadi

By  | 

WANITA Malaysia dan kegilaan terhadap tudung mendorong ramai usahawan menjalankan perniagaan berasaskan hijab. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, terlalu banyak pilihan tudung sehingga menepukan pasaran.

Kuasa membeli yang semakin merosot turut merunsingkan para peniaga pakaian dan tudung. Tekanan untuk menurunkan harga barangan sekali gus mendesak pihak produksi (kilang jahit pukal) mengurangkan harga kos pembuatan.

Begitupun, situasi itu tidak mengekang Ain Nadia Yusoff untuk muncul dengan label tudung baharu. Risiko tersebut dijadikan batu loncatan Ain Nadia mewujudkan Gaya by Adania (Gaya) yang dilancarkan awal April lalu dan dipertontonkan kepada umum pada Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Keunikan barisan tudung jenama tersebut menjadi sandaran Ain Nadia yang merupakan Pengarah Operasi, Amaryllis Wellness Sdn. Bhd. untuk terjun dalam bidang fesyen selepas tiga tahun mengusahakan produk penjagaan kulit organik, Adania Skin Care.

Kepakarannya dalam penyediaan produk organik diterjemahkan ke dalam penghasilan tudung organik. Gaya merupakan tudung 100% organik yang pertama di Malaysia. Ia dicipta sebagai galakan kepada individu untuk bergaya dan dalam masa yang sama, menyokong produk mesra alam bagi memulihara alam semula jadi.

Dua koleksi; tudung organik dan sutera satin diperkenalkan sebagai introduksi kepada pelanggan. Koleksi tudung organik Gaya dihasilkan dengan gabungan kapas, ulat sutera semula jadi dan kain modal fiber. Kandungan 100% organik itu membuatkan si pemakai kekal selesa tanpa mengira cuaca sama ada panas ataupun sejuk.

Proses mewarnanya juga dijalankan secara organik menerusi ejen pencelup herba semula jadi atau Eko Impak Rendah Bebas Azo. Hasilnya, tersedialah tudung dengan dua palet warna asas iaitu greystone (kelabu) dengan corak marmar dan aventurine (hijau zaitun).

Proses pembuatan amat dititikberatkan termasuklah mengitar semula bahan tidak digunakan demi memastikan setiap helaian mencapai piawaian kualiti yang terbaik. Kesemua penghasilan produk Gaya juga mengikuti proses Standard Tekstil Organik Global (GOTS) Fair Trade dengan bahan-bahan yang digunakan untuk produk organik mendapat kelulusan Ecocert dan GOTS.

“Koleksi satin sutera pula diinspirasikan daripada latar alam. Rekaan sulung ini kami mengetengahkan elemen lautan, dedaunan dan kejinggaan suria saat ia mula terbenam.

“Tudung keluaran Gaya juga mudah dijaga. Pengguna boleh mencuci seperti biasa dan menariknya, tudung organik akan menjadi lebih lembut seiring kekerapan cucian. Ketahanannya juga mampu menjangkau lebih 10 tahun,” kongsi Ain Nadia ketika ditemui media di KLCC usai pertunjukan fesyen Gaya by Adania pada AIFW2017.

Koleksi tudung Gaya kini boleh dibeli menerusi laman web www.gaya.my atau di laman Facebook atau instagram rasmi jenama tersebut.

Info Gaya by Adania:
Laman web: www.gaya.my
Instagram: @gayaadania
Facebook: @GayaAdania

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *