Mainan Sentimen Rockstar Clothing

0
44
Sebelum1/10Seterusnya

10-rockstar

KIAN banyak jenama pakaian tempatan muncul bersama rekaan berbentuk patriotik. Kini giliran Rockstar Clothing pula menyertai kelompok nasionalis alaf baharu itu.

Menerusi koleksi Pride, jenama yang mula bertapak setahun lalu itu meminjam Jalur Gemilang sebagai teras rekaan. Meskipun tampak agak ringkas, tetapi keistimewaan helaian itu terletak pada penerapan teknik cetakan dan kualitinya yang tidak terdapat pada jenama lain.

Pengasas jenama yang berpangkalan di Pulau Pinang itu, Mohd. Asyiek Mat Desa menjelaskan bahawa koleksi Pride dihasilkan menggunakan tujuh teknik cetakan (printing) baju. Antaranya ialah potong dan jahit (cut and sew), discharge, saring sutera (silk screen), flock dan vynl.

“Kami cuba mengangkat semangat kenegaraan menerusi Pride. Memandangkan helaian ini dipakai untuk acara-acara tertentu, misalnya pertandingan bola sepak melibatkan skuad kebangsaan, maka kualitinya juga dijaga agar dapat dipakai untuk tempoh yang panjang,” ujar Mohd. Asyiek, 35, yang menambah bahawa helaian tersebut dihasilkan menggunakan fabrik kapas.

Selain Pride, koleksi Scattered dan Splash Up juga meraih sambutan menggalakkan. Ia ekoran kelainan rekaan Rockstar Clothing yang lebih cenderung mencipta trend tersendiri untuk para pengikutnya. Malah sweatpants untuk golongan lelaki yang dilancarkan baru-baru ini juga terjual bagai pisang goreng panas.

Menurut Mohd. Asyiek yang juga pensyarah di Fakulti Seni Reka Bentuk, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Rockstar Clothing diwujudkan bukan untuk penjanaan keuntungan semata-mata. Malah berhasrat untuk berkembang sebagai sebuah jenama lokal yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Sebagai ahli akademik dalam bidang seni reka, Mohd. Asyiek mengakui betapa pesatnya pertumbuhan industri pakaian tempatan sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun sikap segelintir pengusaha pakaian lokal yang lebih mengejar keuntungan berbanding menekankan kualiti produk sedikit sebanyak menghakis kepercayaan pengguna setempat terhadap jenama tempatan.

“Alhamdulillah dengan adanya penganjur seperti Tempatan Fest, penjenamaan dan produktiviti jenama tempatan kian meningkat. Keyakinan masyarakat juga kembali terbina apabila melihat banyak jenama lokal yang mengeluarkan produk-produk kreatif yang berkualiti.

“Hasilnya kita dapat lihat bahawa kemasukan barangan tiruan khususnya pakaian semakin berkurangan,” tambah Mohd. Asyiek ketika ditemui Pepatung baru-baru ini.

Butik Rockstar Clothing boleh ditemui di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang. Koleksi pakaiannya juga boleh diperoleh secara dalam talian dengan berkunjung ke laman web TMShop atau laman Instagram @rockstar_clothing.

Koleksi Pride dijual pada harga RM110 (lengan pendek) dan RM130 (lengan panjang). Produk lain termasuk untuk kanak-kanak juga dijual pada harga bermula RM40 hingga RM130. Saiz bermula daripada S hingga XL.

Kredit foto: Rockstar Clothing

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini