Stail

Keseimbangan nilai Eisa by Ezuwan Ismail

By  | 

RAMADAN bakal menyusul pertengahan bulan ini. Dalam persediaan kita menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan, ramai juga sibuk mempersiapkan persalinan Hari Raya Aidilfitri. Belum terlambat buat anda mendapatkan busana mempesona sempena Syawal tahun ini.

1-eisaFoto/@eisa.byezuwanismail

Dua koleksi di bawah Eisa by Ezuwan Ismail pasti menjadikan penampilan anda lebih menyerlah berbanding individu lain. Mengapa? Sejujurnya, dua koleksi ilham pereka tempatan itu dihasilkan cukup nilainya untuk sehelai pakaian sempena Aidilfitri.

Potongannya moden, perincian juga ringkas dan tidak keterlaluan. Malah pemilihan fabrik dan adunan warnanya juga sempurna. Eisa by Ezuwan Ismail berjaya menterjemahkan nilai realistik yang sepatutnya ada pada busana perayaan. Masih glamor tetapi berpada-pada.

6-eisaFoto/@eisa.byezuwanismail

Tumpuan Eisa tentunya terhala terhadap koleksi jubah lelakinya, The Colors of Egypt. Menampilkan 10 gaya dengan 10 warna, jubah berpotongan langsing (slim fit) itu biarpun polos tanpa sebarang corak atau cetakan, tetap memiliki tarikan tersendiri kepada si pemakai.

“Koleksi jubah saya tahun ini memberi penekanan terhadap pembaharuan potongan. Selain berniaga, niat saya adalah untuk menggalakkan lebih ramai golongan lelaki tempatan berjubah terutama orang muda. Memandangkan lelaki muda gemarkan pakaian berpotongan langsing, maka saya terapkannya ke dalam rekaan jubah ini.

“Jubah ini tidak hanya boleh dipakai untuk acara tertentu mahupun perayaan, tetapi sesuai dijadikan helaian harian,” jelas Ezuwan ketika ditemui Pepatung usai pertunjukan fesyen Eisa by Ezuwan Ismail di Black Box, Publika, Kuala Lumpur.

7-eisaFoto/@eisa.byezuwanismail

Eisa yang meminjam nama putera sulung Ezuwan, Eisa Zhafran, turut menampilkan pelakon yang sedang laris namanya, Ungku Ismail Aziz sebagai dutanya.

Bagi menjayakan kempen jubah The Colors of Egypt, Ezuwan, Ungku dan sekumpulan kru telah terbang ke Mesir pada bulan lalu dan berkampung selama lima hari di sana. Biarpun diduga beberapa kesulitan, penggambaran tetap berjalan lancar dan hasilnya memang menakjubkan.

“Setiap usaha pasti akan diuji. Masalah tercetus apabila kami menjalankan penggambaran di piramid. Pada awalnya, kebenaran telah diberikan tetapi memasuki gaya kedua, pihak berkuasa di sana menghentikan kerja-kerja kami,” Ezuwan bercerita pendek.

Ungku pula menambah: “Biarpun kerja kami dihentikan, diugut dimasukkan ke penjara dan kad memori disita, kesemua kru yang terlibat kekal positif. Tidak seorang pun mengeluh dan disebabkan itu kami mampu bertahan serta meneruskan penggambaran di lokasi lain seperti biasa.”

22-eisaFoto/Pepatung

Sementara itu, sebagai lelaki yang gemar berjubah, Ungku yang semakin dikenali selepas drama 28 episod, Teman Lelaki Upahan ditayangkan di TV3 tidak menafikan betapa selesanya jubah rekaan Ezuwan.

Walaupun ada segelintir yang beranggapan potongan langsing tersebut membuatkan tubuh tampak agak sendat, namun dia tidak mengalami sebarang masalah dari segi pergerakan dan keselesaan. Ia juga selesa ketika duduk.

“Saya memang suka jubah tetapi sukar membelinya. Tubuh yang tinggi menyebabkan saya susah mendapatkan saiz yang sesuai. Saiz yang menepati ketinggian kebiasaannya akan senteng di bahagian lengan. Jika saya beli saiz lebih besar, garis bahu pula jatuh.

“Justeru apabila ditawarkan Ezuwan untuk menyertai kempen Eisa ini, saya bersetuju. Jubahnya begitu sempurna dengan keinginan saya dan inilah yang akan saya sarungkan pada hari raya nanti,” ujar Ungku yang turut ditemui selepas pertunjukan fesyen Eisa by Ezuwan Ismail semalam.

4-eisaFoto/@eisa.byezuwanismail

Eisa turut memberikan variasi pilihan kepada wanita. Menerusi koleksi Lebaran 2015, personaliti moden kaum Hawa dapat ditonjolkan secara semula jadi.

Rekaannya selesa, tampak lebih langsing dan tinggi. Siluet dan beberapa lipatan eksklusifnya pula diterjemahkan ke dalam bentuk ilusi puffy, plette dan ruffle. Biarpun ringkas, ketepatan potongannya tetap diperindahkan dengan fabrik elegan seperti satin duchesse, sifon, les, organza lembut serta diperincikan bersama labuci.

Info Eisa by Ezuwan Ismail
Jubah The Colors of Egypt
Harga: RM299
Saiz: S, M dan L
Lebaran 2015
Harga: RM799

Kedua-dua koleksi Eisa kini boleh didapati di butik Ezuwan Ismail ataupun secara dalam talian menerusi laman instagram Eisa by Ezuwan Ismail. Keterangannya seperti berikut:

Lokasi butik: 1-16, Blok B, Jalan Dagang, Dagang Avenue, Taman Dagang, 68000 Ampang, Selangor
Instagram: @eisa.byezuwanismail

Katalognya di bawah

Sebelum1/13Seterusnya

Lebaran 2015

2-eisaFoto/@eisa.byezuwanismail

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

1 Comment

  1. Kaio

    16 June 2015 at 3:44 PM

    memang satu pengalaman berharga bila dapat jadi salah seorang kew utk trip ezuwan ismail ke Cairo tempoh hari.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *