Stail

Jelmaan karakter Afgan dalam Arez Co.

By  | 

APABILA nama Afgansyah Reza (Afgan) disebut, pasti imej lelaki berkulit putih, berlesung pipit dan berkaca mata menjelma di fikiran. Penyanyi Indonesia itu memiliki aura dan penampilannya yang tersendiri.

Justeru, Afgan berasa terpanggil untuk menyalurkan karakter peribadinya ke dalam dunia fesyen. Enam bulan lalu, tertubuhnya Arez Co., jenama yang meminjam gelaran Afgan atau singkatan bagi Afgansyah Reza.

Signatur Afgan yang berkaca mata diterapkan kepada helaian jenama tersebut. Menurut Afgan: “Setiap rekaan jenama ini mewakili karakter saya. Ini adalah gaya pilihan saya yang selesa untuk dipakai secara harian.”

Koleksi baharu Arez Co., baru-baru ini dilancarkan di butik FashionValet (FV) Pavilion, Kuala Lumpur. Pelancaran tersebut turut menandakan permulaan penyertaan Arez Co. bersama gedung e-dagang popular Asia Tenggara tersebut.

FOTO/FASHIONVALET

Jenama itu memberi fokus terhadap penghasilan barangan yang unik dan berkualiti tinggi bermula dengan koleksi pakaian. Ilham setiap helaian Arez Co. turut didukung oleh pasukan kreatif yang membantu menterjemahkan idea Afgan.

Penggunaan kapas buluh sebagai teras material pula membuatkan baju-T dan sweatshirt Arez Co., selesa dipakai seharian, tidak kira siang atau malam.

Variasi helaiannya lebih tertumpu terhadap pemakaian kasual dan santai. Ia juga bersifat uniseks – boleh dipakai lelaki dan perempuan dengan saiz bermula daripada S hingga XL.

Mainan warna asas seperti kelabu, hitam dan putih menyuntik nilai minimalis kepada gaya individu, sekali gus mudah disuaipadan bersama denim ataupun seluar slack.

Koleksi Arez Co. kini boleh didapati secara eksklusif di www.fashionvalet.com dan butik rangkaian FV di Kuala Lumpur dan Singapura. Harga untuk koleksi jenama tersebut adalah di bawah RM150.

Dalam perkembangan muzik, Afgan baru sahaja melancarkan single ketiga, Ku Dengannya Kau Dengan Dia, yang dipetik daripada album baharunya, Sides. Lagu genre balada itu merupakan ciptaan Rian D’Masiv dengan susunan muzik oleh Erwin Gutawa.

Menjelang April depan, Afgan bakal meneruskan konsert jelajahnya di Johor Bahru dan Singapura, selepas menjayakan persembahan di Kuala Lumpur (September 2016) dan Sarawak (Disember 2016). Ia akan diikuti dengan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *