Interpretasi emosi The Gentlemens

0
55
Sebelum1/7Seterusnya

6-tg.jpg-c

BAJU-T polo pernah menjadi fenomena beberapa tahun dulu. Ketika itu, ramai anak muda khususnya lelaki tampil segak berbaju-T polo dalam pelbagai warna. Kolarnya pula sengaja dinaikkan, meminimumkan formaliti dan membezakan penampilan mereka dengan golongan profesional.

Perubahan trend kemudiannya menenggelamkan populariti helaian maskulin tersebut. Malah kerancakan jenama fesyen jalanan yang kian meraih perhatian masyarakat juga dilihat kurang memberi penegasan terhadap penawaran baju-T polo. Kebanyakannya berlumba-lumba untuk menghasilkan baju-T dengan reka corak kreatif, sweater, baju-T berlengan panjang atau sweatshirt.

Maka kelompongan yang ada itu diisi The Gentlemens, sebuah label tempatan baharu kendalian Ben Firdaus Azraai. Sejak dibangunkan kira-kira enam bulan lalu, baju-T polo The Gentlemens berjaya meraih perhatian mengagumkan, tidak hanya dalam kalangan remaja, malah lebih digemari kelompok lelaki berkerjaya dari latar belakang profesional.

5-tg.jpg-c

“Sebagai seorang lelaki berkerjaya, saya sendiri memerlukan baju seperti ini ketika bermesyuarat dengan klien. Ia tidak begitu formal dan versatil serta boleh digayakan ke pelbagai acara termasuk ketika melepak bersama kawan-kawan, menghadiri kenduri atau ke kuliah.

“Sebelum memutuskan mengeluarkan baju-T polo, saya lakukan penyelidikan hampir enam bulan melibatkan perbandingan terhadap permintaan orang ramai. The Gentlemens turut mengeluarkan baju-T berleher bulat dan kemeja, tetapi baju-T polo mendapat permintaan lebih tinggi,” jelas Ben ketika ditemui Pepatung pada pelancaran koleksi baju-T polo dan sweatpants di Plaza Azalea, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Kaum Hawa juga sering membeli baju-T polo The Gentlemens untuk diberikan kepada suami mereka. Bagi menghapuskan stereotaip orang bahawa baju jenis ini hanya sesuai untuk lelaki berusia, jenama ini memilih untuk bermain dengan warna-warna menonjol iaitu kuning, biru, ungu dan hitam.

Kombinasi warna tersebut menyuntik jiwa muda kepada si pemakai dan menyerlahkan sisi keberanian. Keselesaan turut dioptimumkan menerusi campuran fabrik kapas dan poliester. Pada bahagian lengannya pula, tersergam satu nombor daripada pilihan empat digit 3812 yang menjadi simbolik peribadi kepada Ben. Empat nombor itu merupakan susunan terakhir nombor telefonnya yang telah digunakan sejak 10 tahun lalu.

Tidak menyifatkan pakaiannya sebagai gaya metroseksual, The Gentlemens disasarkan kepada lelaki belasan tahun sehingga 35 tahun. Inspirasinya banyak diperoleh daripada penterjemahan warna memandangkan Ben amat arif terhadap hubung kait warna dan emosi seseorang.

“Warna itu melambangkan emosi seseorang. Setiap helaian The Gentlemens mampu mewakili perasaan si pemakai dan sekali gus menepati karakter mereka,” tambah Ben yang juga pengarah dan pengasas Qarmasutra Interior & Space.

Baju-T polo The Gentlemens juga kini ditawarkan kepada golongan wanita. Dua pilihan daripada rona putih dan merah jambu pasti melengkapi pesona feminin si pemakai. Tampil romantis bersama pasangan anda dengan mengenakan helaian kontemporari ini.

Tidak ketinggalan, barisan sweatpants daripada fabrik baby terry yang ditawarkan dalam rona hitam, putih dan biru gelap.

Info The Gentlemens
Harga: Baju-T polo (RM70) dan sweatpants (RM75)
Instagram: @the.gentlemens
Butik: Unit 10-26, Aras 10, Plaza Azalea, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
Telefon: 012-230 3812 (Sila hubungi untuk temu janji ke butik)

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini