Stail

Fesyen Islamik dan sopan itu berbeza – Mizz Nina

By  | 

PEMENTASAN pakaian berteraskan fesyen Islamik semakin banyak diadakan. Di Malaysia, industri fesyen muslimah juga mengalami pertumbuhan memberangsangkan sejak lima tahun yang lalu.

FOTO/MIZZ NINA

Lambakan jenama tempatan yang berlumba-lumba menghasilkan pakaian berlandaskan nama Islam memberikan variasi kepada pengguna untuk bergaya tanpa mengabaikan kesantunan.

Begitupun pengelasan fesyen Islamik dan sopan (modest) perlu diperhalusi dan dikenalpasti setiap pereka yang mengusahakan pakaian muslimah. Kedua-duanya mewakili imej dan penerapan rekaan yang berbeza.

Mizz Nina yang mula berkecimpung secara serius dalam bidang fesyen muslimah sejak tahun 2013 menegaskan bahawa pakaian Islamik mesti mematuhi syariat menutup aurat manakala pakaian sopan lebih bersifat universal.

“Syarat pakaian Islamik ditetapkan khusus untuk orang beragama Islam. Bermaksud, pakaian itu mesti memelihara aurat sepenuhnya.

FOTO/MIZZ NINA

“Pakaian sopan pula direka untuk semua individu tanpa mengira latar agama, usia atau kepercayaan. Rekaannya kurang seksi tetapi sofistikated,” Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman menjelaskan ketika ditemui Pepatung sempena Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Dua jenama Mizz Nina, Madeena dan Sawdaa Black Label (Sawdaa) ditumpukan terhadap fesyen sopan. Namun, isteri kepada Noh Salleh itu memastikan setiap helaiannya direka longgar (saiz lebih besar berbanding standard).

Jika Madeena difokuskan kepada golongan muda, Sawdaa yang dilancarkan tahun lalu menyasarkan wanita lebih berusia dan matang. Sempena AIFW 2017, Mizz Nina melancarkan koleksi ketiga Sawdaa yang juga merupakan antara himpunan rekaan Hari Raya Aidilfitri kelak.

FOTO/MIZZ NINA

Kali ini, seni Bohemian menjadi teras inspirasi Sawdaa yang turut disuntik elemen perincian manik Sarawak. Palet tanah dan asas seperti putih dan kelabu masih melingkari rekaan Mizz Nina. Cuma, tahun ini, dia memberanikan diri bermain dengan rona menyerlah; emas dan perak untuk baju kurung.

“Signatur saya masih dapat dilihat pada nilai sporty dengan penambahan hoodie. Begitu juga kesederhanaan dan pemilihan warna yang ketara melambangkan imej saya,” tambah Mizz Nina yang akan mengendalikan rancangan The MizzNina Show dan dijangka bersiaran menjelang Ramadan depan.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *