AirAsia mencari pereka fesyen muda

1
10

KOMITED ke arah mengangkat bakat muda, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia mengumumkan program pencarian pereka fesyen muda AirAsia Runway Ready Designer Search.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkara, pelancaran program pereka muda bersama Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear (KLFW RTW), Andrew Tan merupakan kerjasama strategik untuk membantu memberikan platform kepada pereka muda dari dalam dan luar negara.

“AirAsia sentiasa terlibat dengan usaha membangunkan bakat muda terutama dari bidang sukan namun menerusi projek terbaharu ini diharapkan dapat mencungkil bakat muda dan memberikan sokongan kepada mereka dengan pendedahan yang lebih meluas dalam industri fesyen.

“Kami teruja untuk mempamerkan 10 pereka muda pada minggu fesyen Kuala Lumpur yang akan datang pada 16 Ogos depan,” katanya ketika majlis pelancaran AirAsia Runway Ready Designer Search baru-baru ini.

10 pereka muda akan mempamerkan hasil rekaan masing-masing dan tiga terbaik akan diumumkan untuk merebut gelaran AirAsia Most Promising Designer 2015 bersama hadiah menarik termasuk Piala AirAsia Runway Ready Designer Search, tiket pergi balik ke Tokyo, Sydney dan Hong Kong termasuk 60,000 AirAsia BIG Points setiap satu.

RunwayStage-final_out
Foto/ klfashionweek.com/airasiarunwayready

Peserta akan diadili oleh taikun besar dalam industri fesyen tempatan iaitu Khoon Hooi dan Jovian Mandagie serta editor majalah EH!, Khairul Abidin Ishak di samping Aireen dan Andrew.

Pencarian pereka fesyen ini terbuka kepada semua pereka fesyen muda sama ada mempunyai latihan fesyen formal atau tidak. Had umur yang dibenarkan tidak melebihi 28 tahun pada tahun 2015.

Pereka fesyen yang berminat boleh mendapatkan borang pendaftaran yang boleh dimuat turun di laman klfashionweek.com/airasiarunwayready dan menghantar lakaran mereka sebelum 12 Jun 2015.

25 peserta akan disenarai pendek dan akan dihubungi bagi mempersembahkan rekaan mereka kepada barisan hakim manakala 10 terbaik akan dipilih untuk memperagakan koleksi bertemakan Asean di pentas peragaan KLFW RTW 2015.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini