JENAMA telekung nombor satu Malaysia, Siti Khadijah (juga dikenali sebagai SK), mula mendapat perhatian Muslimah di Britain selepas platform e-dagang www.sitikhadijah.co.uk dilancarkan di kota London baru-baru ini.

Dalam usaha menjadi pihak pertama memperkenalkan telekung secara komersil di peringkat antarabangsa, SK memilih pasaran United Kingdom (UK) sebagai destinasi ketiga selepas Indonesia.

“Islam merupakan agama kedua terbesar dengan populasi lebih 3 juta pada 2014. Muslim di Britain terdiri daripada latar belakang etnik yang berbeza, membolehkan kami memperkenalkan telekung dengan lebih meluas,” ujar Mohammad Munzir Aminuddin, Pengarah Pemasaran SK pada acara luncheon eksklusif Siti Khadijah di Mayfair, London.

Kunjungan SK ke Britain yang menjadi bualan hangat dalam kalangan Muslimah di negara empat musim itu menarik perhatian media apabila turut menerima beberapa undangan temu ramah termasuk siaran langsung rancangan Women’s AM di Islam Channel UK dan stesen-stesen radio Islamik utama di Britain.

“Berbanding Malaysia, kebanyakan Muslimah di Britain kurang pengetahuan tentang telekung yang menjadi pakaian khas untuk solat. Ada antara mereka hanya melihat Muslimah dari Malaysia dan Indonesia memakai pakaian serba putih (telekung) ketika menunaikan Umrah dan Haji.

“Rutin pemakaian solat mereka lebih kepada menyarung jubah dan selendang yang turut menjadi pakaian biasa mereka,” kongsi Siti Fazrena Mohamad Fuad, wakil Siti Khadijah UK.

Penggunaan fabrik berkualiti tinggi seperti spun poliester dengan rekaan inovatif fleksibel di bahagian wajah – mudah regang di dahi dan dagu tanpa perlu dipin atau memakai anak tudung menjadikan telekung SK unik berbanding telekung sedia ada di pasaran.

Manakala perincian minimalis seperti renda menambah seri si pemakai, namun masih kekal ringkas mengikut syarak.

“Ibu saya, Padzilah Enda Sulaiman yang merupakan pengasas SK mengambil masa enam bulan mengkaji setiap inci rekaan bagi menghasilkan telekung yang sempurna buat setiap Muslimah di luar sana,” tambah Munzir.

Mengambil kira cuaca di negara empat musim, telekung SK sesuai dan selesa disarung pada bila-bila masa. Menurut Munzir, SK tidak meletakkan status sebagai jenama modest fashion yang hadir dengan koleksi rekaan bermusim. Rekaan telekung SK kekal klasik dengan teknologi fabrik yang sentiasa dinaik taraf seiring dengan penjenamaan telekung SK sebagai pakaian solat premium.

Setelah tiga tahun ibu pejabat SK berpangkalan di Brockley, London, beberapa butik dan ejen jualan di sekitar UK bakal menjual produk SK tidak lama lagi. Koleksi telekung terbaru SK yang dilancarkan di UK juga boleh didapati secara online di www.sitikhadijah.com dan di semua cawangan SK di Malaysia dan Indonesia.

Ikuti perjalanan SK di UK di instagram @sitikhadijah.uk dan Facebook Siti Khadijah UK.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini