Tujuh petanda anda dalam perhubungan matang

0
10

MERAIH kepercayaan pasangan dalam perhubungan memerlukan masa. Justeru, di awal percintaan anda sering bergaduh tentang hal-hal remeh. Relaks! Ia adalah normal dalam perhubungan. Selepas anda melepasi dugaan perhubungan besar pertama untuk tiga tahun pertama, anda akan mula menikmati keselesaan dalam berpasangan.

Perubahan itu akan dirasai selepas anda bersama pasangan anda untuk tempoh lima tahun. Tempoh yang mungkin singkat untuk sesetengah orang tetapi waktu terbaik untuk mengecapi kelapangan dan kepercayaan dalam perhubungan.

1) Tak muat naik gambar bersama? Tak kisah
Di awal percintaan, anda berasa penting untuk berkongsi detika bahagian anda bersama pengikut anda di media sosial. Setiap kali keluar berjanji temu, pasti anda tidak melepaskan peluang berfoto mesra lengkap dengan hashtag #bae #relationshipgoals dan #tilljannah.

Namun, selepas lebih tiga tahun berkenalan, anda mula menghargai nilai privasi. Bak lirik lagu 150 Juta daripada Fynn Jamal: “Buat apa dicerita, bahagia kita rasa. Biar tak dipercaya, peduli orang kata.” Selagi anda dan pasangan menikmati kegembiraan secara sederhana itu sudah membahagiakan.

Jika dulu, penat juga kekasih anda (teman lelaki/suami khususnya) dimarah apabila tidak memuat naik gambar bersama sehingga dituduh malu untuk memberitahu semua orang bahawa anda adalah cinta hatinya.

2) Tidak lagi like gambar anda? Tak kisah
Kenapa segelintir pasangan tidak gemar meninggalkan komen atau like gambar pasangan mereka di media sosial? Ketika mula berkenalan, gambar-gambar mereka di media sosial yang sering anda komen dan like. Isu like dan komen boleh mencetuskan perkelahian jika tidak kena waktunya.

Lama-kelamaan hal remeh itu tidak lagi mengganggu anda. Bukan penting pun terima like atau komen daripada kekasih anda sedangkan setiap hari dia berada di depan mata anda.

3) Balas mesej/WhatsApp lewat? Tak mengapa

Paling pantang bila kekasih anda lupa atau terlewat membalas mesej atau WhatsApp anda. Kesilapan kecil itu boleh buat anda bergaduh seharian atau berhari-hari. Itu dulu. Kini anda lebih bertoleransi jika pasangan anda lewat memberi respons. Bukan kerana anda berhenti peduli tetapi tahap kepercayaan anda kepada mereka lebih tinggi.

4) Balik lambat sebab lepak dengan kawan-kawan? Pergilah
Memang anda paling tidak gemar kalau suami/isteri pulang rumah lewat dengan alasan keluar bersama kawan-kawan. Bagi anda, perhatian mereka hanyalah untuk anda, apatah lagi apabila mereka tidak mempelawa anda ikut bersama. Tahap ‘psiko’ anda melarat sehingga rakan-rakan pasangan anda berasa takut dan terganggu.

Setiap kali pasangan anda pulang lewat, semua nombor rakan-rakan baik pasangan anda dihubungi. Curiga anda kepada pasangan masih menebal dan anda bimbang mereka keluar bertemu bekas kekasih atau curang dalam diam.

Selepas bertahun hidup bersama, anda lebih rasional. Anda berasa perlu untuk anda dan pasangan meluangkan masa secara bersendirian bersama teman-teman rapat masing-masing. Lepak bersama teman-teman mereka juga bukan lagi satu masalah.

5) Periksa telefon pintar pasangan? Tak kuasa
Kebiasaan memeriksa telefon pintar pasangan sebenarnya satu amalan tidak sihat. Di awal perhubungan anda berasa sangsi terhadap tahap kesetiaan pasangan. Maka anda memeriksa telefon pintar pasangan secara paksaan atau sembunyi bagi memastikan mereka tidak berhubungan dengan bekas kekasih atau lelaki/perempuan lain.

Pantang ada mesej mencurigakan, mulalah anda bersangka bukan-bukan. Paling hebat apabila anda mengetahui kod laluan telefon pintar pasangan ketika anda berpura-pura tidur di sebelah mereka. Jadi, anda boleh mengakses telefon pintar ketika mereka mandi.

Namun segalanya berubah selepas kepercayaan itu tertanam dengan teguh. Anda dan pasangan saling menghormati dan mempercayai. Tidak perlu memeriksa telefon pintar semata-mata anda curiga tentang sesuatu. Bukankah bertanya secara langsung lebih baik?

6) Batalkan janji temu? Tak kisah
Apabila merancang untuk berjanji temu, menonton wayang misalnya, anda pasti teruja dan bersiap awal. Mood anda yang baik boleh berubah sebaliknya apabila pasangan anda membatalkan janji temu saat akhir atas urusan kerja atau kecemasan lain.

Hal itu akan dijadikan alasan untuk anda mengabaikan panggilan telefon atau mesej pasangan anda berhari-hari. Anda merajuk dan sensitif terhadap hal-hal sedemikian.

Bagaimanapun, selepas kerap meluangkan masa bersama, janji temu yang dibatalkan bukan lagi masalah. Anda bersikap lebih terbuka malah menenangkan pasangan anda yang sedang berdepan masalah. Ya, anda sudah matang dalam perhubungan.

7) Tidak menggunakan nama manja anda dalam simpanan telefon pintar? Baguslah
Bila berdua-duaan, pasangan anda akan memanggil anda dengan nama manja seperti ‘sayang’, ‘baby‘, ‘papa’, ‘mama’ dan sebagainya. Bagi anda ia romantik sehinggakan anda memaksa pasangan menetapkan nama anda dengan panggilan manja di telefon pintar mereka.

Namun, sekarang anda tidak lagi peduli. Anda sendiri menyimpan nama pasangan dalam senarai telefon pintar menggunakan nama sebenar mereka. Gelaran manja itu tak perlu dihebohkan pun.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini