Putus cinta dua kali sehingga murung, masih bujang menjelang usia 30, wanita ini lebih cekal

0
6

PERNAH dikecewakan beberapa kali, Nur Atika Ramzan kini cekal menghadapi hari mendatang walaupun usia kian menginjak ke 30.

Tatkala berbicara tentang cinta, Nur Atika, menceritakan dia pernah bercinta sebanyak dua kali tetapi akhirnya kecundang di tengah jalan.

“Sejujurnya cinta pertama saya terjalin sejak di  bangku sekolah. Kami bercinta selama lapan tahun. Semuanya indah dan manis belaka. Sehinggalah saya mula bekerja.

“Sepanjang tempoh perkenalan, saya tidak pernah mengutarakan perihal perkahwinan, kerana saya yakin bahawa saya akan menjadi isterinya suatu hari nanti,” imbas Nur Atika yang merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM)  dan kini bekerja di salah sebuah syarikat pengiklanan di Bangsar, Kuala Lumpur.

FOTO/WOMEN’S HEALTH SECRET

Tanpa mendedahkan sebab perpisahan, dia mengakui fasa tersebut membuatkan dia berasa kehidupannya sudah tidak bermakna. Tiga bulan merupakan tempoh untuk wanita tersebut merawat luka emosinya.

“Ia bagaikan sebuah episod hitam yang terpaksa saya harungi. Saya bagaikan robot tanpa perasaan. Setiap hari saya hanya mengikut rutin harian; pergi kerja, balik dan tidur,” tambah Nur Atika.

Punca Nur Atika mengalami depresi ketika itu adalah kerana keyakinannya bahawa cinta pertamanya itu pasti memperisterikannya.

“Seperti wanita lain, saya juga menyimpan angan-angan dan harapan bahawa suatu hari nanti dia akan menikahi saya,” imbau Nur Atika.

Menelusuri 10 bulan selepas perpisahan, Nur Atika berkenalan pula dengan seorang rakan sekerja yang berasal dari England.

“Kami sering keluar dan menghabiskan waktu senggang bersama. Ketika itu saya membina harapan untuk bangkit daripada kekecewaan. Walaupun dia berbangsa Inggeris dan berusia tiga tahun lebih muda, jurang perbezaan tersebut yang menjadi penyatuan, selain ingin memberi peluang kepada diri sendiri,” Nur Atika terus bercerita.

Walaupun keluarga tidak bersetuju di awal perkenalan kerana faktor bangsa dan agama, Nur Atika sentiasa positif dan kembali bersemangat dengan kehadiran teman baharunya.

“Selepas lapan bulan berkenalan, akhirnya saya membawa dia berjumpa dengan keluarga. Alhamdulillah, mereka membenarkan saya untuk terus berkawan dengan lelaki Inggeris tersebut,” kongsi Nur Atika.

Namun, kita mampu merancang, Allah yang menentukan. Perhubungan Nur Atika untuk kali kedua juga kecundang di tengah jalan. Kekecewaannya kembali memuncak. Impian untuk mendirikan rumah tangga punah sekelip mata.

Perpisahan itu terjadi sejurus lelaki Inggeris itu pulang bercuti dari Maldives. Gara-gara pertengkaran kecil, mereka berpisah.

“Memanglah sedih, apatah lagi apabila melihat rakan-rakan sebaya sudah berkeluarga dengan suami dan anak-anak. Kemurungan kembali melanda untuk beberapa bulan.

“Namun, pada suatu hari, saya tekad untuk membina semangat baharu dan tidak mahu bersedih lagi. Sejak itu, saya sering menyibukkan diri dengan aktiviti bersama rakan-rakan dan keluarga.

“Saya penuhi waktu dengan bercuti, membeli-belah dan pada masa yang sama, saya meneruskan minat saya dengan menjadi penyanyi sambilan,” ujar Nur Atika yang kini merasakaan usia bukan lagi ukuran kebahagiaan.

Sementara itu, ketua unit kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, Dr. Fauziah Mohd Sa’ad berkata, wanita bujang walaupun telah menginjak usia 30-an mempunyai kestabilan psikologi dan jelas dengan pilihan hidup serta lebih matang.

Dari segi kerjaya, mereka sudah mampu memilih mengikut kemampuan masing-masing. Kematangan fizikal dan mental yang dilalui membuatkan mereka lebih menarik dan berketerampilan.

Dr. Fauziah juga menyatakan bahawa puncak kecantikan wanita adalah ketika mereka menginjak usia 30.

“Kalau pilihan dibuat atas keinginan sendiri, mereka akan berasa lebih gembira kerana didorong kematangan berfikir.

“Namun, sekiranya mereka kekurangan sifat kendiri, kemahiran komunikasi ditambah faktor ekologi lain, tidak mustahil ia akan mendorong terhadap kemurungan.

“Apabila keperluan psikologi tidak dipenuhi, kemurungan akan melanda individu,” jelas Dr. Fauziah ketika dihubungi Pepatung.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini