Cinta & Perhubungan

Lima sebab anda masih belum mempunyai kekasih

By  | 

SUDAH menjadi lumrah bagi setiap manusia menginginkan pasangan yang mampu melengkapi antara satu sama lain. Sudah menjadi kebiasaan jika dilihat muda-mudi masa kini sudah mempunyai pasangan seawal usia remaja. Bukan sesuatu yang janggal melihat golongan muda bersiar-siar menghabiskan masa bersama.

Perasaan cemburu yang timbul apabila melihat kemesraan pasangan lain yang dilihat sangat serasi dan comel bersama, pasti membuatkan si solo yang tidak pernah bercinta mahupun yang sudah lama tidak menjalinkan hubungan cinta berasa tidak keruan.

Persoalannya apa yang menyebabkan individu di luar sana masih lagi memilih mengekalkan status solo? NINA JURY ada jawapannya.

1) Terlalu Memilih
Mereka yang mempunyai tahap penilaian yang tinggi pasti akan menjadikan seseorang itu memiliki sifat yang begitu memilih. Lebih-lebih lagi apabila berbicara mengenai soal pasangan. Bagi mereka, pasangan yang ingin dijadikan teman meluah dan berkongsi segala rasa perlulah serba serbi sempurna di mata. Sekiranya salah satu kriteria yang ditetapkan tidak menepati piawaian, maka jangan harap untuk seseorang itu mendapat peluang kedua kembali bertemu janji. Ini kerana, mereka lebih rela hidup solo sehingga muncul si dia yang benar-benar mampu menambat hati!

2) Jual mahal
Tidak salah untuk seseorang itu jual mahal terutama bagi golongan wanita. Namun, sifat terlalu jual mahal mungkin akan menjadikan anda seorang yang sukar didekati dan sehingga menyebabkan anda membujang sampai ke tua. Sifat jual mahal yang tidak kena tempat ini kadang-kadang menyukarkan peluang anda memulakan sesi perkenalan. Tidak salah jika sekali-sekala anda yang cuba menegur individu yang anda minati. Itu bukan menandakan anda gatal, tetapi hanya sekadar bersikap ramah.

3) Suka menilai
Sikap ini kadang-kadang tidak disedari oleh tuan empunya badan. Bagi mereka, sikap tersebut sekadar tindakan berhati-hati dalam memilih pasangan hidup supaya tidak ditipu dan dipermainkan. Kadang-kala, ia boleh dikategorikan terlalu melampau kerana langsung tidak memberi peluang kepada orang lain untuk cuba mendekati. Ada sahaja yang tidak kena dan tidak sempurna di mata mereka dalam menilai seseorang. Sikap suka menilai atau judgemental ini antara satu faktor menjadi punca mereka masih berstatus solo.

4) Mudah Mengalah
Jangan terlalu cepat mengalah jika proses perkenalan tidak berjalan seperti yang diharapkan. Cuba dan terus mencuba tanpa rasa putus asa. Walaupun sudah beberapa kali anda mengadakan temu janji. Ya, tidak dinafikan sampai satu tahap anda mungkin rasa bosan dan penat dengan proses perkenalan yang tiada kesudahan. Masih tidak berjumpa si jantung hati. Berhenti merungut, sekurang-kurang anda dapat mengumpul kawan baharu dan tiada salahnya untuk anda terus menjalin persahabatan dengan mereka.

5. Kuat Kerja
Bangun pagi tidak lain dan tidak bukan yang bermain di minda adalah kerja. Ini adalah salah satu sindrom bagi mereka yang kuat bekerja sehingga tiada masa untuk diri sendiri apatah lagi bersosial mencari pasangan. Selepas menghabiskan masa bekerja sehingga lewat malam, kemudian terus pulang dan lena diulit mimpi. Esoknya, rutin tersebut diulang kembali. Sudah tiba masanya buat si solo meluangkan masa untuk diri sendiri mencari seseorang yang boleh membuatkan hati berbunga tersenyum bahagia.

Comments

comments

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *