Spektakular Citrawarna 2015

0
23
????????????????????????????????????

SPEKTAKULAR! Barangkali itu definisi terbaik menerangkan keseluruhan pergerakan Citrawarna 2015. Untuk mengubah 360 darjah landskap paradigma dan ideologi yang telah disematkan selama 15 tahun program itu dilaksanakan, ia bukan satu tugas yang mudah.

Jika dahulunya, Citrawarna paling sinonim antara acara kemuncak dalam kalendar kebudayaan dan pelancongan Malaysia, antara persembahan yang paling banyak memakan kudrat (penari, krew, pengurusan) malah aturan perarakan di beberapa batang jalan popular sekitar ibu kota menjadi terjemahan paling ideal untuk acara berkenaan.

Namun kini, di bawah tampuk pimpinan sulung Puan Sri Tiara Jacquelina (PSTJ), Citrawarna dizahirkan dan diolah semula dalam sebuah rendisi ringkas namun menyeluruh!

PSTJ selaku Pengarah Persembahan Citrawarna 2015 nyata dibantu oleh jentera persembahan yang utuh, hal itu paling jelas dilihat menerusi penggunaan props di atas sebuah pentas gergasi yang direka seolah-olah balairong seri dan singgahsana istana Melayu selain memaksimakan pergerakan 600 orang penari dalam tempoh 90 minit di lokasi yang sama.

Aturannya mudah, mengangkat tiga tema utama iaitu Culture, Nature dan Future, susunan yang tidak jauh menyimpang daripada misi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk memperkenalkan tiga diversiti utama negara itu telah berjaya direalisasikan kali ini.

Bukan hanya berjaya menghiburkan pengunjung dalam negara bahkan, acara kali ini berjaya menarik minat sebilangan besar pelancong dari luar negara termasuk wakil daripada 18 buah negara yang tersenarai dalam kelompok Tourism Malaysia Mega Familiarization Programme seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Laos, Kemboja, Myanmar, dan antara lainnya dari Kazakhstan, Mauritius, Nepal dan Jerman.

Tiara yang tidak asing di pentas seni persembahan bijak menggunakan pentas utama seawal 6.30 petang menerusi persembahan pra pembukaan oleh kanak-kanak dari Enfiniti Academy disusuli dengan pementasan khas Mud The Musical.

Tanpa membuang masa, Citrawarna 2015 bermula tepat pukul 8.30 malam dan acara berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

????????????????????????????????????

Overture pembukaan menonjolkan elemen wayang kulit dibantu oleh gerakan lincah Wak Long Kamarul Hussin. Adanya gerakan tari yang menceritakan kisah hikayat lima pahlawan bersaudara yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu meledakkan aura patriotisme secara tidak langsung.

Momentum Citrawarna 2015 dijalin kemas dengan memperkenalkan setiap lokasi, ciri-ciri kebudayaan dan kesenian popular dari setiap negeri di Malaysia. Bermula dari Sabah hingga ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, penceritaan yang mengisi perut utama pentas tidak menghampakan. Segmen pertama persembahan Citrawarna 2015 banyak dibantu oleh permainan visual yang sangat menarik!

Memasuki segmen kedua yang dibuka dengan elemen alam semula jadi bagi memperkenalkan khazanah alam yang tidak ternilai di bumi bertuah Malaysia, persembahan disulam dengan ciri-ciri murni, budi bahasa dan amalan kehidupan harmoni masyarakat majmuk di Malaysia.

_66A0533

Menampilkan sekali lagi Wak Long Kamarul Hussin dan digarap dengan konsep teaterikal muzikal, segmen itu mencuri perhatian dengan keletah Datuk Aznil Nawawi, Altimet dan pendatang baharu, Yna Rose Noah. Malah, ketika ini juga beberapa lagu popular yang menghiasi perjalanan kempen pelancongan dan kebudayaan tempatan seperti Malaysia Truly Asia serta Dekat Je diselitkan antara dialog pementasan.

Unsur kekaguman yang menjadi representasi Tiara dalam setiap persembahan masih diselitkan. Antaranya babak dua kumpulan penduduk kampung membawa dua buah replika rumah tradisional Melayu dari kiri dan kanan ke pentas utama memaku khalayak untuk kekal selesa.

Segmen terakhir iaitu Future dibuka dengan permainan lampu LED gergasi daripada pelbagai replika ikon popular di Malaysia dalam segenap bidang. Replika rumah kampung yang diletakkan di atas pentas utama tadi dibelah menjadi satu susunan rawak ikon-ikon berkenaan seperti alat muzik Sape, permainan tradisi Wau Bulan, Kuda Kepang, Pohon Beringin dan bunga kebangsaan, Bunga Raya.

Sepanjang suku pertama segmen ini juga ditampilkan Miss Malaysia Asean 2013, Amelia Henderson yang ditransformasikan daripada seekor burung Citrawarna menjadi individu mempesonakan untuk menghiburkan khalayak yang menonton.

_66A0659

Adakalanya, konsep transformasi yang cuba diketengahkan gagal dikesan oleh pengunjung yang duduk dalam jarak lebih jauh dari pentas utama namun hal itu tidak mencacatkan keseluruhan persembahan pada malam 17 Oktober lalu.

Cuba menampilkan kelainan dengan menyelitkan persembahan fesyen daripada lima pereka terkenal tanah air iaitu Melinda Looi, Zang Toi, Rizman Ruzaini, Zery Zamry dan Rubaq Batik, sekali lagi formula yang diguna pakai kali ini telah memperlahankan nadi momentum yang sudah semakin rancak pada awalnya.

_66A1145

Disusuli pula dengan beberapa kemunculan penari daripada kumpulan anak muda yang mempamerkan kelincahan beraksi dalam pembangunan sukan pelancongan seperti Formula 1, pasukan sorak, penari jalanan dan parkour bagaimanapun tidak berjaya menarik kembali perhatian yang semakin teralih dengan beberapa kelompongan pada pentas.

Malah, pergerakan segmen terakhir ini kelihatan sedikit canggung apabila kemuculan kumpulan muzik No Noise Percussion yang menutup perarakan statik Citrawarna 2015. Tirai Citrawarna 2015 ditamatkan dengan kemunculan semula keseluruhan jentera yang menggerakan acara tersebut tahun ini dan diakhiri dengan persembahan gilang-gemilang bunga api.

Bagi menghargai sumbangan kumpulan Wings dalam arena muzik negara selama 30 tahun, sebuah konsert tribute berlangsung sejurus selepas tamat perarakan Citrawarna 2015. Antara artis yang membuat kemunculan khas untuk menggamatkan malam tersebut ialah Amelina, Jaclyn Victor, One Nation Emcees dan kumpulan Wings sendiri.

IMG_7184 copy IMG_7235 copy

Apapun, syabas diucapkan atas usaha gigih pasukan yang dipimpin oleh Puan Sri Tiara Jacquelina dan keseluruhan acara tahun ini telah meletakkan standard baharu Citrawarna untuk tahun-tahun mendatang.

 

 

 

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini