Festari 2015 kembali

0
19

JIKA dua tahun lalu, Anak Dalam Gading yang mewakili negeri Sarawak berjaya menewaskan tujuh kumpulan lain di pentas Festival Tari Malaysia (Festari), gerangan siapakah pula yang akan menjuarai acara berprestij itu pada tahun ini?

1-festari Foto/Pepatung

Festari yang menjadi lanjutan kepada program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sejak 1992 kembali pada tahun ini bersama misi baharu untuk mengangkat perjuangan seni tarian tradisional Melayu.

Pada tahun ini, Festari dipecahkan kepada dua kategori iaitu Kategori Tarian Tradisional Daerah dan Kategori Tarian Rampaian Tradisional.

Kategori Tarian Tradisional Daerah memberi penekanan pada tarian daerah negeri yang diwakili peserta, kecuali negeri yang tidak mempunyai tarian daerah dibenarkan untuk mempersembahkan salah satu tarian daerah yang terdapat di negara ini.

2-festari Foto/Pepatung

Skop tarian tradisi adalah seperti tarian etnik Sabah dan Sarawak, tarian Dabus negeri Perak, Tarian Piring Negeri Sembilan dan sebagainya manakala kategori Tarian Rampaian Tradisional pula lebih kepada skop tarian tradisi seperti Joget, Zapin, Inang dan Asli.

Pertandingan Kategori Tarian Rampaian Tradisional akan diadakan pada Khamis, 4 Jun 2015 bermula pukul 8.30 malam manakala Kategori Tarian Tradisional Daerah akan diadakan pada keesokannya (5 Jun 2015) pada pukul 8.30 malam.

Pertandingan Akhir iaitu pada 6 Jun 2015, pukul 8.30 malam di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula bakal menyaksikan pertembungan lapan buah kumpulan semuanya merangkumi empat kumpulan bagi Kategori Tarian Rampaian Tradisional manakala empat lagi mewakili Kategori Tarian Tradisional Daerah.

3-festari Foto/Pepatung

Festival Tari Malaysia 2015 secara keseluruhannya membabitkan lapan penyertaan yang terbaik dari seluruh Malaysia selepas menjalani sesi pemilihan melalui Manifestasi Tari di peringkat zon sepanjang bulan April lalu dan telah dipilih oleh panel juri yang dilantik.

Setiap kumpulan yang bertanding dikehendaki menyediakan dua koreografi bagi menjalani peringkat separuh akhir dan akan mempersembahkan koreografi yang kedua setelah berjaya ke peringkat akhir.

Lapan kumpulan peserta yang berentap ialah Rentak (Selangor), Kumpulan Kesenian Pewaris (Terengganu), Nyala Dance Theatre (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Le’Waris UMK (Kelantan), Sanggar Budaya Miri (Sarawak), Badan Kesenian Tentera Laut (Perak), Kumpulan Tari Aliff (Johor) dan Petra Tari SMIP (Kelantan). Masuk adalah percuma dan tiada bayaran tiket dikenakan.

Berikut merupakan ganjaran hadiah untuk dua kategori yang dipertandingkan:
1) Johan – RM10,000 dan trofi serta sijil
2) Naib Johan – RM8,000 trofi dan sijil
3) Kumpulan Harapan – RM5,000 trofi dan sijil
4) Koreografer Terbaik – RM3,000 trofi dan sijil
5) Busana Terbaik RM3000 trofi dan sijil
6) Saguhati – RM2000 sijil

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini