Buletin

AirAsia kumpul dana untuk MAKNA menerusi penjualan baju-T eksklusif

By  | 

BAGI mengumpul dana untuk Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA), syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia telah menghasilkan baju-T #AirAsiaMAKNA dengan rekaan menarik.

Direka dan dihasilkan oleh AirAsia Allstars (kakitangan AirAsia) sendiri, baju-T ini memaparkan rekaan uniform ikonik kapten dan pramugari AirAsia yang membawa logo MAKNA beserta slogan ‘A Meaning To Life’ pada bahagian belakang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata: “Kesemua hasil jualan baju-T ini akan disalurkan terus kepada MAKNA. Kami berharap dapat membantu dan menyumbang terhadap membasmi kanser, begitu juga dalam memberikan kebajikan yang diperlukan bagi mereka yang kurang berkemampuan melalui kempen #AirAsiaMAKNA.

“Lebih 100,000 pesakit kanser menerima bantuan daripada MAKNA dan kami berharap dapat meningkatkan lagi jumlah tersebut menerusi jumlah yang terkumpul daripada kempen ini.

“Apa yang lebih penting lagi, kempen ini direka khas bagi memberi kesedaran dan memastikan masyarakat awam mengetahui dan memahami mengenai kanser. MAKNA juga akan hadir di kesemua lokasi jualan kami bagi memberikan informasi mengenai cara-cara menghindari kanser dan servis yang mereka tawarkan kepada pesakit kanser.

“Rekaan baju-T ini sangat ranggi dan kami merasakan ia satu cara positif bagi memberi perhatian kepada isu ini serta menjadi ‘papan iklan bergerak’ bagi kesedaran kanser.”

Dalam pada itu, Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd. Farid pula berkata: “Kanser adalah ancaman global. Justeru ia mendorong MAKNA untuk terus bekerja bagi memastikan kes-kes kanser yang baru kekal pada tahap yang rendah.

“Usaha ini memerlukan kesedaran dan sokongan berterusan daripada semua pihak. Program mencegah adalah penting bagi mengekalkan jumlah mereka yang terselamat pada paras tinggi menerusi pengesanan awal. Unit mudah alih Mamogram MAKNA juga bertujuan mengesan tanda-tanda awal kanser payu dara yang merupakan pembunuh nombor satu wanita.

“Kerjasama dengan AirAsia Berhad adalah peluang bagi kami menyuarakan seruan nasional dan menekankan kepentingan kehidupan yang sihat. Kami berharap kempen ini memainkan peranan yang lebih penting dan menghantar mesej yang penuh makna kepada masyarakat awam serta memberi rasa murni memakai baju-T edisi terhad dengan rekaan istimewa ini.

“Kami juga berharap agar mereka dapat memeriksa kesihatan diri dengan lebih kerap.”

Dikeluarkan secara terhad, baju-T yang dijual pada harga RM30 sehelai itu tersedia dalam saiz dewasa dan kanak-kanak.

Baju-T #AirAsiaMAKNA tersedia untuk dibeli di beberapa lokasi di bawah:

Graduan Aspire 2015 di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur (9 & 10 Mei 2015 | 12pm – 6pm)
Taylor’s University Lakeside Campus di Subang Jaya, Selangor (13 Mei 2015 | 10am – 4pm)
AirAsia Travel Fair 2015 @ Penang di Gurney Paragon Shopping Mall, Persiaran Gurney, Penang (16 – 17 Mei 2015 | 10am – 10pm)
Karnival JomHeboh Carnival 2015 di Putrajaya, Presint 3 (23 & 24 Mei 2015 | 9am – 7pm)
AirAsia Travel Fair 2015 @ Petaling Jaya di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor (29 – 31 Mei 2015 | 10am – 10pm)

AirAsia juga menganjurkan peraduan foto bersempena dengan kempen ini. Semua yang membeli baju-T eksklusif ini berpeluang untuk memenangi sepasang tiket penerbangan ke destinasi-destinasi terpilih AirAsia & AirAsia X. Individu yang membeli baju-T ini hanya perlu memuat naik foto kreatif mereka memakai baju-T ini di laman Twitter atau Instagram dengan menyertakan hashtag #AirAsiaMAKNA. Pemenang akan diumumkan oleh AirAsia pada penghujung Jun depan.

Selain darioada kempen tanggungjawab sosial #AirAsiaMAKNA ini, AirAsia Berhad bersama Yayasan AirAsia juga telah mengumpul RM902,447 dalam menyokong usaha MERCY Malaysia menerusi kempen ‘Ëast Coast Relief Fund’ pada awal tahun ini.

Dana yang terkumpul itu telah disalurkan bagi membantu mangsa banjir monsun yang melanda negara pada lewat tahun 2014 dan awal tahun 2015. Ia turut digunakan bagi pembelian peralatan perubatan seperti katil hospital, ubat-ubatan, bekalan pakai buang, pemerikasaan perubatan dan peralatan pengimbas untuk 14 klinik terpencil di Kelantan dan Pahang.

Penerbangan percuma untuk lebih daripada 200 kakitangan perubatan juga diberikan dengan lebih daripada 28 tan ruang kargo bagi membantu pelbagai NGO dan agensi bantuan kemanusiaan semasa banjir melanda.

Orang ramai juga boleh melayari www.airasia.com/airasiamakna untuk maklumat lanjut. Bagi mengetahui aktiviti terkini AirAsia pula, ikuti mereka di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

Comments

comments

Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *