#AIFW2017 himpun gergasi fesyen Islamik global

0
5

MENURUT Laporan Kedudukan Ekonomi Islamik Global 2015/16 yang dikeluarkan secara bersama oleh Reuters, konsumer Muslim sedunia membelanjakan sejumlah AS$230 bilion untuk pakaian pada 2014.

Ia sekali gus menjadikan pasaran pakaian Muslim membentuk 11 peratus daripada perbelanjaan global, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun lalu. Angka tersebut dijangka mencecah AS$484 bilion menjelang 2019.

Saiz pasaran yang ketara itu memerlukan perhatian dan pelaburan dari seluruh dunia. Pemain fesyen arus perdana utama daripada Uniqlo dan Mango hinggalah kepada pereka fesyen aras tinggi seperti Dolce & Gabbana dan Tommy Hillfiger telahpun mengikut jejak langkah DKNY yang melabur dalam sektor tersebut.

Semuanya berlaku seiring perkembangan syarikat-syarikat fesyen Muslim yang kini meneroka pasaran. Platform e-dagang seperti Hijup (Indonesia) dan Modanisa (Turki) juga menerima kemasukan pelaburan yang besar untuk mengembangkan asas pengguna masing-masing.

Laporan berkenaan turut menggariskan bahawa Malaysia mendahului majoriti kategori industri Halal dalam Petunjuk Ekonomi Islamik Global. Sebagai negara Islam yang moden dan progresif, Malaysia telah lama membawa aspirasi Hab Halal Global, dengan merintis banyak inisiatif Halal serta menjadi tuan rumah kepada inisiatif yang berkaitan demi mencetus kesedaran lebih luas tentang pasaran Halal.

Justeru, tertubuhlah acara fesyen Islamik Asia yang pertama di Malaysia – Asia Islamic Fashion Week 2017 (#AIFW2017).

Ia merupakan acara dagangan yang direka khusus untuk mempersembahkan gabungan kesantunan fesyen dengan gaya terkini yang tidak lari daripada konteks Islamik.

Malaysia bersedia menjadi tuan rumah buat acara yang julung-julung kali diadakan itu bermula 30 Mac hingga 2 April 2017. Industri runcit tersebut akan berkampung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari dari pukul 10 pagi hingga 8 malam bagi memberi ruang kepada semua pihak mendekati dan memiliki trend mutakhir dalam persalinan busana, aksesori, kosmetik dan sumber yang berinspirasi Islam.

Bertemakan ‘Memperkenalkan Asia Sebagai Pusat Global Fesyen Islamik’, #AIFW2017 bercita-cita untuk menjadi ruang pasaran bagi fesyen dan gaya hidup Islamik berpengaruh di Asia, dengan menyediakan medan bagi komuniti bisnes fesyen Islamik bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan.

Lebih daripada 10,000 pengunjung, 180 peserta pameran, 100 pereka, 200 pembeli dagangan antarabangsa, pencetus pengaruh fesyen, eksekutif bisnes, jurugambar fesyen dan keseluruhan pengamal media dari lebih 20 negara dijangka bakal mengambil bahagian dalam #AIFW2017.

Tiga elemen utama #AIFW2017 adalah:

i) Pertunjukan Dagangan Fesyen
Sebuah platform untuk rangkaian perniagaan fesyen dan gaya hidup Islamik yang mapan serta berkeuntungan. Daripada jenama mewah, hingga ke trend terkini dalam fesyen yang santun, #AIFW2017 membawakan peserta pameran dari seluruh dunia yang menjadi nadi bisnes fesyen Islamik. Masuk adalah PERCUMA.

ii) Pertunjukan Fesyen
Memperkenalkan trend terkini fesyen Islamik daripada pereka terkenal, peruncit terunggul, butik dan pereka fesyen bebas dari Malaysia, Brunei, Perancis, Belanda, Amerika Syarikat, Jepun dan Arab Saudi. Persembahan di pentas peragaan adalah sesuatu yang wajib disaksikan.

Antara pereka fesyen dan jenama yang terlibat adalah Dian Pelangi, Cosry, Karina Ng, Eja Shahril, Adila Long, Ana Abu, Sawdaa Black Label, Mumu Scarves, Ashh&Annas, Padusi Couture, Khalif By Eirma Fatima, General Product Oleh Amy Search, Gaya By Adania, La Diora, Nafyana Oleh Liana Ghaus, Calacara, V Hijrah, Daanya, Rumi, Marinah Yazid, Black Swan Couture (Dubai), Barjis (London), Chenille Dan Amjadd (Paris) dan ramai lagi.

iii) Interaksi Fesyen
Memperkayakan orang Islam dengan pengetahuan tentang fesyen Islamik berasaskan nilai-nilai Islamik, menerusi sesi perbincangan interaktif oleh panel dari pelbagai bidang dalam industri fesyen dan perdagangan Islamik.

#AIFW2017 dinaungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaki Penaung Kehormat manakala Pengerusi Islamic Fashion & Designer Council (IFDC), Alia Khan dilantik sebagai Penasihat Antarabangsa.

Acara tersebut turut disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia, MATRADE, SME Corporation Malaysia dengan kerjasama IFDC. Yayasan Al Bukhary bertindak sebagai penaja bersama, Zalora pula menjadi rakan e-dagang rasmi.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini